amree22/10/2026 - 11:50 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Okt – Kerajaan belum memuktamadkan pelan Hala Tuju Gas Asli (NGR) yang masih ditunda dan dijangka dapat dilancarkan pada suku keempat 2026 bagi menyusun semula pembangunan industri, termasuk bekalan, penetapan harga dan kawal selia pasaran.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, hala tuju berkenaan apabila dilancarkan perlu diterjemahkan kepada projek di lapangan, reformasi dan hasil yang boleh diukur, serta bukan sekadar menjadi dokumen perancangan industri tersebut semata-mata.
"Hala tuju berkenaan dijangka menjadi perubahan penting kepada ekosistem gas asli Malaysia sejak proses liberalisasi industri bermula hampir sedekad lalu, selain menyelaraskan dasar Persekutuan dan negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah serta Sarawak," jelasnya.
Beliau berkata demikian menerusi rakaman video ucapan sempena Simposium Gas Malaysia (MyGAS) 2026, yang dianjurkan Persatuan Gas Malaysia (MGA) dan turut dihadiri Presidennya, Abang Yusuf Abang Puteh. Pelancaran NGR pada asalnya disasarkan pada suku ketiga tahun ini.
Ujar Akmal Nasrullah, gas asli akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan fleksibiliti sistem penjanaan elektrik tempatan, di samping menyokong pengeluaran industri dan aktiviti ekonomi bernilai tinggi di seluruh negara.
Di bawah laluan peralihan bertanggungjawab dalam Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), gas asli diunjurkan menjana 56% daripada jumlah bekalan tenaga primer Malaysia menjelang 2050, berbanding 43% ketika ini.

Beliau menegaskan keselamatan tenaga berkait rapat dengan daya saing ekonomi, khususnya ketika perkembangan sektor pembuatan termaju, pusat data dan industri digital meningkatkan permintaan terhadap tenaga yang stabil serta kompetitif dari segi kos.
"Gangguan perdagangan gas asli cecair (LNG) antarabangsa tahun ini turut menjejaskan ketersediaan bekalan dan meningkatkan turun naik harga di rantau ini. Justeru, Malaysia perlu mempelbagaikan sumber bekalan, memperkukuh pembangunan gas domestik dan memastikan infrastruktur mencukupi bagi memenuhi permintaan," kata Akmal Nasrullah.
Bagi memperkukuh daya tahan bekalan, kerajaan turut bersetuju dengan pembangunan Terminal Penggasan Semula Ketiga (RGT3) di Lumut, Perak, oleh PETRONAS Gas Berhad menggunakan konsep unit penyimpanan dan penggasan semula terapung (FSRU). Kemudahan itu disasarkan memulakan operasi komersial pada suku kedua 2029.
Pembangunan infrastruktur turut merangkumi peluasan pengagihan gas di Sabah dan pembangunan empat hab gas di Sarawak, dengan mengambil kira keperluan serta keadaan bekalan di setiap wilayah. Bagaimanapun, Akmal Nasrullah menegaskan kapasiti infrastruktur perlu disokong oleh sambungan saluran paip, aturan komersial yang mantap dan pelaksanaan tepat pada masanya.
Dalam pada itu, kerajaan mahu pembangunan industri gas menghasilkan nilai ekonomi lebih besar melalui pertumbuhan industri hiliran, pekerjaan berkualiti, pendapatan eksport serta peluang kepada pembekal tempatan. Industri turut digesa meningkatkan kecekapan tenaga, mengurus pelepasan metana dan meneroka teknologi seperti pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) serta biometana apabila berdaya maju.
Akmal Nasrullah berkata kerajaan akan terus menyediakan hala tuju dasar dan persekitaran yang menyokong pelaburan, namun kejayaan pembangunan ekosistem gas negara memerlukan kerjasama pemain industri, pembekal gas, pengendali infrastruktur, institusi kewangan dan penyedia teknologi.
Beliau berharap MyGAS 2026 menghasilkan cadangan praktikal serta tindakan susulan yang mampu memperkukuh keselamatan bekalan, daya saing kos dan pengurangan pelepasan karbon negara. - DagangNews.com






