Kanser hati ‘pembunuh senyap’, KKM perkukuh pengesanan awal

LocalHealth & Fitness
11 Oct 2026 • 8:01 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kanser hati ‘pembunuh senyap’, KKM perkukuh pengesanan awal

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan Pelan Hala Tuju Inisiatif Kesihatan Hati Kebangsaan 2026-2030 bagi memperkukuh pengesanan awal penyakit hati yang digelar sebagai ‘pembunuh senyap’ kerana hanya dikesan pada tahap serius.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kanser hati merupakan kanser kelima paling utama di Malaysia dengan kadar kejadian 8.8 kes bagi setiap 100,000 populasi lelaki dan 2.6 kes bagi setiap 100,000 wanita bagi tempoh 2022 hingga 2024.

“Pelan ini menjadi hala tuju kepada pengurusan penyakit hati secara bersepadu, merangkumi pencegahan, saringan sasaran, diagnosis tepat hingga ke rawatan pakar dan pemantauan yang berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Kesedaran Kanser Hati 2026 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Image from: Kanser hati ‘pembunuh senyap’, KKM perkukuh pengesanan awal
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Hari Kesedarah Kanser Hati 2026 di Auditorium Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HUKM) pada 11 Oktober 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

Dzulkefly berkata Malaysia bersedia membawa agenda kesihatan hati ke peringkat antarabangsa pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-80 (WHA 80), susulan kejayaan negara menerajui The Lung Health Initiative sebelum ini.

Beliau turut menyatakan hasrat memodenkan penyampaian perkhidmatan kesihatan, termasuk menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bagi melancarkan integrasi antara KKM, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan agensi berkaitan di bawah gagasan Kerajaan MADANI.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri Masyarakat UKM, Prof Dr Bariah Mohd Ali berkata kanser hati sering digelar ‘pembunuh senyap’ kerana penyakit itu lazimnya tidak menunjukkan gejala jelas sehingga berada pada tahap serius.

Beliau berkata antara faktor yang boleh meningkatkan risiko kanser hati termasuk jangkitan hepatitis B dan C, penyakit hati berlemak, masalah metabolik serta gaya hidup tidak sihat.

Image from: Kanser hati ‘pembunuh senyap’, KKM perkukuh pengesanan awal
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat UKM, Prof Dr Bariah Mohd Ali memberi ucapan aluan semasa Majlis Perasmian Hari Kesedaran Kanser Hati 2026 di Auditorium Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) pada 11 Oktober 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

“Kanser hati sering menjadi ‘pembunuh senyap’ kerana hampir 70 peratus kes hanya berjaya dikenal pasti apabila sudah berada pada Tahap 4 sekali gus menyebabkan peluang untuk mendapatkan rawatan pada peringkat lebih awal menjadi terhad.

“Justeru, kempen seperti ini penting sebagai gerakan untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap kesihatan hati dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengesanan awal,” katanya.

Menurut Bariah, UKM komited menghubungkan kepakaran akademik, penyelidik dan perkhidmatan klinikal dengan masyarakat bagi memperluas pengetahuan serta kesedaran mengenai kesihatan hati.

"Usaha itu diharap dapat menggalakkan orang ramai mengenal pasti faktor risiko dan mendapatkan pemeriksaan bersesuaian bagi mencegah penyakit hati daripada berkembang ke tahap lebih serius," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved