
SHAH ALAM, 27 JULAI: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang menjadi kerangka pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM212.44 bilion.
Dato’ Menteri Besar berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM92.44 bilion disalurkan kepada projek pembangunan peringkat negeri termasuk pelaksanaan beberapa insentif bagi menjamin kebajikan rakyat.
Untuk tujuan itu, Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan Kerajaan Negeri akan mengeluarkan dana sebanyak RM7.16 bilion manakala baki melebihi RM80 bilion hasil pembiayaan anak syarikat serta pihak swasta.
Beliau memaklumkan RS-1 turut melibatkan projek persekutuan yang ada dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) seperti Rel Pantai Timur (ECRL), Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Deras (MRT) dengan nilai melebihi RM120 bilion.
“RS-1 berbeza dengan RMK-12 yang lebih menekankan aspek infrastruktur tetapi kita tambah dengan pelbagai inisiatif rakyat dengan kerjasama Kerajaan Negeri, anak syarikat serta swasta.
“Rancangan ini secara menyeluruh dan komprehensif bertujuan melengkapkan hala tuju pembangunan Selangor,” katanya pada sidang media selepas membentang RS-1 di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
The post Pelan pembangunan lima tahun Selangor babit kos lebih RM212 bilion appeared first on Selangorkini.

