Pelan Sabah Maju Jaya semakin beri impak positif: Juhar

LocalPolitics
3 Oct 2022 • 1:31 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Pelan pembangunan komprehensif digariskan kerajaan Sabah menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025 kini semakin menampakkan impak positif untuk manfaat rakyat, kata Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Beliau berkata impak positif itu antara lain dapat dilihat melalui peningkatan jumlah pelaburan langsung asing ke Sabah dan pelaksanaan program pembangunan yang mencerminkan keprihatinan kerajaan kepada rakyatnya.

Sehubungan itu, Juhar menyeru semua pihak supaya terus komited untuk menyokong, melaksana serta menjayakan pelan pembangunan itu dan menurutnya, Sabah bertuah kerana dikurniakan kekayaan sumber asli, khazanah alam semula jadi serta ditunjangi keharmonian rakyat pelbagai kaum.

“Melalui keberkesanan kepimpinan kerajaan negeri, pelan pembangunan komprehensif serta hubungan akrab dengan kerajaan Persekutuan, saya penuh yakin Sabah akan terus berada di landasan tepat untuk mengecapi kemajuan dengan lebih pesat lagi,” katanya berucap pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu di sini Sabtu lepas.

Khamis lepas, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dilaporkan berkata Sabah mencatatkan pelaburan langsung asing berjumlah RM9.9 bilion bagi tempoh Januari hingga September tahun ini dan RM389 juta pelaburan domestik bagi Januari hingga Jun tahun ini.

Turut hadir isteri Juhar Toh Puan Norlidah R.M Jasni, Hajiji dan isteri Datin Seri Juliah Salag, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong.

Juhar berkata langkah pemulihan ekonomi pascapandemik Covid-19 yang diambil kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan juga telah memberi kesan positif apabila ketibaan jumlah pelancong ke Sabah menyaksikan peningkatan selain aktiviti ekonomi dan sosial yang semakin rancak. Beliau berkata inisiatif itu turut didukung dengan pelbagai usaha dan kerjasama berterusan semua pihak termasuk individu, sektor swasta, badan bukan kerajaan dan syarikat berkepentingan kerajaan bagi memastikan setiap sektor terjejas dapat dipulihkan lebih cepat.

“Saya menyeru seluruh lapisan masyarakat untuk terus bekerjasama dan menyemarakkan semangat perpaduan sebagai tunjang dalam memakmurkan Sabah,” katanya sambil mengingatkan rakyat terus mengambil langkah kawalan dan pencegahan Covid-19 meskipun negara sudah memasuki fasa peralihan ke endemik.

Juhar juga mahu semua peringkat kepimpinan dan anggota perkhidmatan awam di Sabah memberi perkhidmatan terbaik memandangkan harapan rakyat terhadap penyampaian perkhidmatan cekap dan berkesan akan sentiasa meningkat.

“Saya yakin inisiatif pendigitalan menuju Kerajaan Pintar oleh kerajaan Sabah dalam tempoh lima tahun mulai 2020 mampu memenuhi tuntutan itu, selain menjadi pemacu pembangunan merentasi semua sektor,” katanya.

Pada majlis itu, seramai enam individu menerima Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima antaranya Joachim, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Kadzim M. Yahya dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Seramai 42 orang menerima Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) membawa gelaran Datuk antaranya Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa, Ahli Dewan Negara Senator Noraini Idris, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah, Pembantu Menteri Kewangan negeri Datuk Jasnih Daya, dan Pengarah Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri Sabah Datuk Lucy Irene Yong.

Jeffrey pula merupakan antara enam penerima Jaksa Pendamai pada majlis sama, yang menyaksikan seramai 54 individu menerima darjah kebesaran, pingat dan bintang masing-masing Sabtu lalu.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.