Spotify boleh dikatakan sebagai salah satu aplikasi penstriman audio yang paling popular di dunia, tetapi sayangnya sehingga kini pengguna masih lagi tertunggu-tunggu untuk penawaran audio nirhilang (lossless audio) yang menjanjikan kualiti audio yang terbaik, seperti apa yang ditawarkan melalui perkhidmatan penstriman lain seperti Apple Music dan juga Tidal.
Terkini, /u/Hypixely di Reddit telah mengatakan bahawa dia telah menemui sejumlah butiran mengenai pelan “nirhilang” Spotify didalam kod sumber Spotify, dan menjangkakan bahawa mereka akan memperkenalkan pelan “Supremium” ini tidak lama lagi.

Diantara butiran yang ditemui termasuklah kebolehan untuk menstrim audio 24-bit, langganan buku audio selama 30 jam setiap bulan dan juga kebolehan untuk mencipta senarai lagu dan audio menggunakan kecerdasan buatan terbina.
Dari aspek kecerdasan buatan, pelan “Supremium” ini juga membolehkan anda untuk memainkan lagu-lagu berdasarkan kadar “BPM” yang dikehendaki, peralihan lagu berdasarkan titik-titik masa yang ditetapkan dan penurasan genre lagu berdasarkan “mood”.

Melalui penemuan didalam kod sumber tersebut juga, ia dianggarkan bahawa pelan “Supremium” ini akan ditawarkan pada harga $19.99 (~RM93), tetapi juga mengatakan bahawa ini mungkin hanya harga yang digunakan sebagai pemegang tempat sebelum Spotify mengesahkan harga sebenarnya.
Buat masa ini, harga Spotify Premium untuk pasaran Malaysia ditetapkan pada RM15.90 setiap bulan.
- Sumber
