Pelan Supremium dikesan dalam kod aturcara app Spotify, harga USD19.99/bulan

Digital
22 Sep 2023 • 9:23 AM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Seorang pengguna menemui sesuatu yang menarik sewaktu dia "menyelam" ke dalam kod-kod aturcara aplikasi Spotify. Dia menemui pelan langganan yang lebih mahal daripada sedia ada dan dikenali sebagai "Supremium".

Dalam barisan kod-kod itu, dia temui yang Supremium akan ditawarkan pada harga USD19.99/bulan (RM93.77/bulan). Menurutnya, ada beberapa kelebihan Supremium berbanding versi Premium biasa.

image is not available

Salah satunya adalah akses kepada kandungan lossless 24-bit yang pastinya akan popular dalam kalangan audiofilia. Dikatakan juga Supremium memberikan pengalaman mendengar tanpa lag ataupun sela. Tidaklah diketahui bagaimanakah ciri ini akan diimplementasikan. Mungkin ia ada kaitan dengan algoritma pemampatan yang digunakan, sama sepertu format 1080p Premium yang digunakan oleh YouTube sekarang.

Pelanggan Supremium juga boleh gunakan ciri AI untuk menghasilkan senarai lagu tertentu. Pastinya ciri ini juga menarik kerana kita boleh himpunkan lagu berkisarkan topik-topik tertentu ataupun lagu yang ada perkataan-perkataan tertentu untuk hasilkan sesuatu yang kreatif.

Spotify juga dipercayai akan hadkan jumlah jam pengguna boleh dengar audiobook dengan Supremium dapat had yang paling tinggi iaitu 30 jam. Selain itu, pendengar juga mungkin boleh mengakses ciri penuras yang lebih halus seperti mencari lagu mengikut kadar rentak (BPM), tempo, mood, dan banyak lagi.

Walau bagaimanapun, selagi perkara ini tidak disahkan sendiri oleh Spotify, ia masih lagi tergolong dalam kategori spekulasi.

Spotify ditawarkan dalam pelbagai pelan bermula dengan Mini RM0.75/hari hinggalah pelan keluarga yang boleh dikongsi dalam kalangan 6 pengguna pada harga RM24.90/bulan. Layari laman rasmi produk untuk maklumat lanjut.

image is not available

Sumber: Hypixely

Bacaan berkaitan