Pelan YouTube Premium Lite akhirnya telah dilancarkan hari ini selepas ura-ura mengenainya mula didengari sejak beberapa minggu lalu. Ia ditawarkan pada harga $7.99 sebulan yang adalah lebih murah berbanding $13.99 untuk pelan Premium semasa. Perbezaan ialah pelanggan Premium Lite tidak akan disajikan iklan pada majoriti video yang ditonton. Iklan akan dipaparkan dalam kandungan seperti muzik video misalnya.

Kemampuan untuk memuat turun video dan memainkan video di latar belakang juga masih hanya diberikan kepada pelanggan Premium. Pelan Premium Lite sekadar mengurangkan paparan iklan di YouTube yang kini semakin menjadi-jadi.
Pada waktu ini Premium Lite hanya ditawarkan di Amerika Syarikat. YouTube kemudian akan mengembangkannya pula ke Australia, Jerman dan Thailand dalam masa beberapa minggu sahaja lagi. Premium Lite pada waktu masih sekadar produk ujian dan tiada maklumat ia akan ditawarkan ke semua pasaran.
