Seperti yang dinyatakan sebelum ini, OnePlus akan melancarkan telefon mercu baharu OnePlus 13 pada Oktober. Enggan membiarkan ramai pihak terus berteka-teki, OnePlus akhirnya mendedahan tarikh pelancaran rasminya yang dijadualkan berlangsung penghujung bulan iaitu 31 Oktober 2024.

Mengetengahkan konsep berbeza dengan sebelum ini, OnePlus 13 dilengkapi tubuh dan bingkai rata yang memungkinkan penggunaan lebih selesa untuk jangka masa lama. Bonggol kamera bulat masih dikekalkan dengan susunan 2 X 2, di samping mempunyai penjenamaan Hasselblad yang mengesahkan kerjasama diantara kedua-dua pengeluar ini.

Butang kuasa dan laras audio diletakkan di sebelah sisi kanan. Diikuti satu lagi butang Alert Slider di bahagian sisi kiri yang sebelum ini sudah sedia digunakan pada peranti OnePlus. Sekurang-kurangnya tiga pilihan warna turut boleh ditawarkan yang termasuk biru, putih dan hitam. Penawaran lanjut hanya akan diketahui selepas pelancaran rasmi kelak.



