Pelancaran Rasmi LIMA’27: MINDEF Perkukuh Kedudukan Malaysia Sebagai Hab Strategik Industri Pertahanan Asia Pasifik

8 Jul 2026 • 9:16 AM MYT
Newswav PR
Newswav PR

Sponsored content from various brands & advertisers

Image from: Pelancaran Rasmi LIMA’27: MINDEF Perkukuh Kedudukan Malaysia Sebagai Hab Strategik Industri Pertahanan Asia Pasifik
Imej oleh Kementerian Pertahanan Malaysia

KUALA LUMPUR Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Seri Haji Malek Razak bin Sulaiman yang merupakan pengerusi bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim bin Ali bagi Pameran Antarabangsa Maritim dan Aerospace Langkawi (LIMA’27), hari ini telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Rasmi Pameran LIMA’27 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.

Mengangkat tema "Sustainable Vision Across Sea, Sky and Space", pameran LIMA’27 Edisi ke-18 ini dianjurkan secara dwi-tahunan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) dengan kerjasama syarikat yang dilantik iaitu Global Exhibition & Conference Sdn. Bhd (GEC) di Langkawi, Kedah dari 20 hingga 24 April 2027.

Penganjuran tahun 2027 ini akan terus mengukuhkan kedudukan pameran sebagai hab strategik industri pertahanan, maritim dan aeroangkasa sebagai penganjuran terbesar di Asia Tenggara serta menyasarkan penampilan empat pasukan aerobatik elit dunia iaitu Pasukan Black Eagles dari Republik Korea, Al Fursan dari Emiriah Arab Bersatu, Jupiter Aerobatic Team dari Indonesia, dan Russian Knights dari Persekutuan Rusia.

Pameran LIMA’27 menyasarkan penyertaan sekitar 930 syarikat pempamer dari 36 buah negara, kehadiran lebih 450 delegasi rasmi mewakili 65 negara, serta menarik kira-kira 400,000 pelawat perdagangan dan awam. Pameran ini turut dijangka akan melibatkan 110 aset udara dan 90 aset maritim.

Selaras dengan perkembangan landskap keselamatan global, LIMA’27 akan memberi penekanan kepada teknologi pertahanan generasi baharu termasuk sistem autonomi maritim, kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, komunikasi satelit, teknologi angkasa, sistem persenjataan berteknologi tinggi serta penyelesaian bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana (Humanitarian Assistance and Disaster Relief – HADR).

Ia mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh inovasi, penyelidikan dan pembangunan teknologi tempatan melalui kerjasama strategik antara kerajaan, industri dan institusi penyelidikan.

Selain itu, LIMA’27 juga akan menjadi platform pertemuan antara kerajaan, pemain industri pertahanan, institusi penyelidikan serta pelabur tempatan dan antarabangsa. Antara lain, ia akan dapat memperluaskan kerjasama strategik melalui diplomasi pertahanan, memperkukuh rantaian bekalan industri pertahanan serta membuka peluang baharu kepada syarikat tempatan untuk menembusi pasaran global.

Penganjuran LIMA’27 adalah satu langkah konsisten MINDEF dalam memastikan kesiagaan pertahanan negara dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa di tahap tertinggi melalui pelabagai pendekatan termasuk diplomasi pertahanan, industri pertahanan, kerjasama teknologi, serta perkongsian ilmu dan teknologi.

Pendekatan ini menterjemahkan pengukuhan ekosistem pertahanan negara dalam menyokong pembentukan Angkatan Masa Hadapan (AMH) ATM yang menjamin kesiapsiagaan pertahanan negara dalam menghadapi spektrum ancaman hibrid selaras dengan aspirasi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) dan Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030.

Hadir semasa majlis adalah pegawai kanan MINDEF dan ATM, perwakilan diplomatik asing, pemain industri pertahanan tempatan dan antarabangsa serta rakan strategik LIMA’27.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved