Perolehan peluru berpandu ganti NSM dijangka selesai antara dua hingga tiga tahun

LocalPolitics
7 Jul 2026 • 3:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Perolehan peluru berpandu ganti NSM dijangka selesai antara dua hingga tiga tahun
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman

KUALA LUMPUR - Proses perolehan sistem peluru berpandu bagi menggantikan sistem Naval Strike Missile (NSM) untuk Kapal Tempur Pesisir (LCS) dijangka selesai antara dua hingga tiga tahun, kata Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang menilai sistem peluru berpandu dari empat negara, iaitu Perancis, Turkiye, Itali dan Korea Selatan bagi menggantikan sistem NSM, yang eksportnya dibatalkan Norway sebelum ini.

"Paling cepat pun dalam masa dua, tiga tahun lagi kerana ia perolehan baharu, banyak aspek perlu dilihat terlebih dahulu termasuk bajet.

"Proses perolehan ini perlu dibuat semula dari awal untuk dapat sistem yang sesuai daripada sistem yang sedia ada sebelum ini," katanya selepas majlis pelancaran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2027 di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penilaian teknikal bagi memilih sistem peluru berpandu keluaran negara lain sebagai pengganti sistem NSM akan selesai pada akhir bulan ini.

Mengulas isu dua insiden semasa latihan di Kem Hobart, Kedah bulan lepas, Malek Razak berkata, ia tidak menjejaskan sebarang operasi dan latihan.

Beliau berkata, operasi dan latihan di kem berkenaan diteruskan seperti biasa dan tentera darat juga meneliti sama ada terdapat ruang untuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP) pengendalian latihan serta aspek pemantauan dan fasiliti di Kem Hobart.

Pada 16 Jun lepas, dua anggota tentera maut dipercayai akibat kecederaan parah terkena letupan bom ketika menjalani latihan di lapang sasar kem berkenaan.

Kem berkenaan kembali menjadi perhatian apabila dua anggota tentera dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) mengalami kecederaan pada bahagian kaki akibat terkena serpihan senjata api yang meletup semasa latihan pada 30 Jun lepas. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved