Pelancaran RMJDT kukuhkan Zetrix AI, Maybank IB saran beli dengan TP dinaikkan kepada RM2.03

TechnologyBusiness & Finance
10 Dec 2025 • 9:56 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelancaran RMJDT kukuhkan Zetrix AI, Maybank IB saran beli dengan TP dinaikkan kepada RM2.03
image is not available
liza10/12/2025 - 09:56 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Dis – Zetrix AI dijangka mencatatkan prestasi kukuh selepas pelancaran stablecoin pertama Malaysia, RMJDT yang dikeluarkan melalui platform teras Lapisan-1 Zetrix di bawah Infrastruktur Rantaian Blok (MBI), menurut Maybank Investment Bank.

 

Maybank IB menyatakan bahawa jualan token RMJDT bernilai RM500 juta dijangka melonjakkan pendapatan FY26E Zetrix AI kepada RM1.186 bilion, iaitu peningkatan 39% berbanding anggaran sebelum ini.

 

“Dengan menggunakan PER 15x yang sama, nilai wajar (FV) Zetrix dianggarkan RM2.30 (berdasarkan pendapatan FY26E). 

 

“Kami mengambil pendekatan konservatif terhadap tambahan RM500 juta sehingga penjelasan lanjut diperoleh. Kami tidak menganggap sebarang jualan token melebihi RM500 juta pertama ini,” kata Maybank Ib dalam nota kajiannya.

 

Sehubungan itu, firma tersebut menaikkan sasaran harga 12 bulan syarikat daripada RM1.66 kepada RM2.03 dengan saranan beli.

 

Dengan harga saham semasa RM0.81, saham Zetrix AI berpotensi meningkat sehingga 152%.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Tunku Mahkota Ismail perkenal mata wang kripto RMJDT di platform Zetrix AI

 

Semalam, Bullish Aim Sdn Bhd, yang dipengerusikan dan dimiliki oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, secara rasmi melancarkan RMJDT yang disandarkan pada Ringgit Malaysia.

 

Ia direka untuk memperkukuh penggunaan RM dalam penyelesaian perdagangan rentas sempadan serta menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.

 

Selaras dengan pelancaran RMJDT, Bullish Aim turut bercadang menubuhkan Digital Asset Treasury Company (DATCO) dengan peruntukan awal sebanyak MYR500 juta dalam token Zetrix. 

 

DATCO akan memastikan yuran gas rangkaian RMJDT stabil dan komited untuk meletakkan taruhan sehingga 10% nod pengesah dalam MBI, langkah yang dijangka meningkatkan keselamatan dan kecekapan rantaian blok Zetrix.

 

Zetrix AI, yang dahulunya dikenali sebagai MyEG, mula beroperasi pada 2000 dan menumpukan pada pendigitalan pelbagai perkhidmatan kerajaan dan komersial.

 

Pada 2022, syarikat ini melancarkan rantaian blok awam Lapisan-1 dan pada 2024 bekerjasama dengan infrastruktur rantaian blok nasional China, Xinghuo BIF. 

 

Pendapatan FY24 dikategorikan 64% dari Malaysia dan 36% dari luar negara, dengan CAGR pendapatan tiga tahun FY21-FY24 sebanyak 10% dan keuntungan bersih teras meningkat 26%.

 

Maybank IB berkata, faktor yang menyokong pertumbuhan Zetrix AI termasuk pendigitalan yang lebih cepat di ASEAN, kerjasama strategik yang meningkatkan capaian dan inovasi produk, serta inisiatif kerajaan yang menyokong penerimaan rantaian blok.

 

Sebaliknya, ketegangan geopolitik, gangguan kerjasama strategik dan pergerakan harga token Zetrix yang tidak menentu boleh memberi kesan negatif terhadap prestasi syarikat.

 

Dengan pelancaran RMJDT dan penubuhan DATCO, Zetrix AI dijangka terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju teknologi rantaian blok di Malaysia dan rantau ASEAN dan meningkatkan potensi pertumbuhan kewangan syarikat dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com

Terkini standard