
KUALA LUMPUR 9 Dis – VS Industry diyakini mencatatkan prestasi lebih baik menjelang tahun kewangan 2026, disokong oleh operasi Filipina yang mencapai pulangan modal serta aliran pesanan baharu daripada pelanggan, menurut Maybank Investment Bank.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan Beli dengan sasaran harga RM0.61 sesaham berbanding harga semasa RM0.46, menawarkan potensi kenaikan sekitar 33 peratus.
Maybank IB berkata, operasi syarikat di Filipina dijangka mula pulang modal pada suku pertama 2026 apabila model produk baharu mula memasuki pengeluaran besar-besaran.
“Unjuran prestasi bagi suku kedua FY26 mungkin akan perlahan berikutan faktor bermusim biasa dan kesan kelemahan mata wang AS, namun separuh kedua tahun kewangan dijangka lebih baik apabila aliran pesanan kembali normal.
“Dalam usaha meningkatkan kecekapan, VS Industry telah melaksanakan penstrukturan kos termasuk pengurangan tenaga kerja susulan penurunan kos berkaitan tarif daripada pelanggan.
“Kos satu kali bagi suku sebelumnya telah diambil kira, manakala suku kedua FY26 dijangka mencerminkan kelembapan bermusim dan kelemahan mata wang AS,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.
Selain itu, VS Industry berjaya menambah pelanggan baharu dalam operasi pembersihan komponen elektrik dengan pengeluaran berskala kecil dijadualkan bermula pada 2026.
Maybank IB menegaskan bahawa keuntungan teras operasi PHP dijangka berhenti mengalami kerugian pada suku pertama 2026 apabila jumlah pengeluaran meningkat dan kecekapan operasi bertambah baik.
“Model produk kedua telah mula memasuki pengeluaran besar-besaran pada Disember 2025, manakala model pertama terus meningkat secara berperingkat.
“Syarikat juga telah mendapatkan model produk ketiga yang dijangka mula dihasilkan pada suku kedua 2026, menyokong prospek pemulihan margin Kumpulan,” katanya.
Maybank IB tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran kewangan dan mengekalkan sasaran harga pada RM0.61, berdasarkan PER CY26E sebanyak 20.5 kali yang tidak berubah dan -0.5 SD daripada purata lima tahun hadapan.
Firma itu menegaskan, walaupun kelemahan mata wang AS mungkin sedikit menjejaskan peningkatan margin, operasi di Filipina yang dijangka pulang modal akan menyumbang kepada pemulihan margin kumpulan dalam tempoh sederhana.
Risiko utama yang dikenalpasti termasuk permintaan pengguna yang lebih lemah, kehilangan pelanggan, tekanan margin akibat kos permulaan dan kecekapan operasi, serta turun naik mata wang asing. - DagangNews.com
