
ROMPIN – Seorang pelancong warga Afghanistan dilaporkan lemas ketika melakukan aktiviti skuba bersama anak perempuannya di perairan Pulau Tioman di sini hari ini.
Mangsa, Mohamed Seyar Musazay, 55, yang menetap di Amerika Syarikat bercuti ke pulau tersebut bersama keluarganya selama seminggu bermula Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa dan anaknya melakukan aktiviti skuba di perairan Pulau Tioman bersama seorang jurulatih pada pukul 11 pagi.
Katanya, mangsa dikatakan berada dalam keadaan baik sepanjang aktiviti selaman selama kira-kira 20 minit pada kedalaman enam meter.
“Semasa aktiviti selaman hampir selesai, jurulatih membantu anak mangsa timbul ke permukaan air terlebih dahulu dari kedalaman tiga meter.
“Jurulatih tersebut kemudiannya melihat mangsa terkapai-kapai naik ke permukaan air kira-kira jarak tiga meter darinya. Sebaik mendekati mangsa didapati alat pernafasan di mulut lelaki asing tersebut tercabut dan mangsa tidak sedarkan diri,” katanya di sini hari ini.
Mohamed Seyar kemudiannya dibawa ke pantai sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kampung Tekek dengan menggunakan bot penduduk.
Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada pukul 12.40 tengah hari.
Katanya, pada pukul 4.50 petang, mayat lelaki itu dibawa ke Teluk Gading dengan menaiki bot Pasukan Polis Marin sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk proses bedah siasat.- KOSMO! ONLINE
The post Pelancong Afghanistan lemas ketika selaman skuba di Pulau Tioman appeared first on Kosmo Online.






