Pelancong British Dakwa ‘Dianiaya’ Di Malaysia Gara-gara Gagal Bayar Parkir RM7

Entertainment
14 Feb 2025 • 1:17 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Seorang pelancong British mendakwa dia ‘dianiaya’ selepas terkandas di Malaysia selama beberapa minggu gara-gara gagal membayar tiket parkir kereta.

Dia berkata, pasportnya telah diambil oleh pihak mahkamah selepas berlakunya insiden dia meletak kereta selama 10 minit di tempat letak kereta di Pulau Pinang, 7 Disember lalu.

Lelaki British itu, Ahmed Hadi yang bekerja sebagai jurutera elektrik berpangkalan di London, berkongsi pengalaman buruknya sehingga dipenjara hanya disebabkan insiden tersebut, lapor Express.co.uk.

Dalam kejadian itu, Ahmed mendakwa mesin pembayaran parkir di situ tidak menerima kadnya apabila dia cuba membayar caj parkir sebanyak RM7.

Dia mendakwa bahawa walaupun telah menekan butang bantuan dan berinteraksi dengan pegawai parkir, tiada bantuan diberikan.

image is not available

Disebabkan tiada siapa yang berada di sana untuk membantunya, dia mengangkat palang plastik dengan lembut untuk keluar dari tempat letak kereta, secara tidak sengaja menyebabkan kerosakan.

Tindakannya itu mengakibatkan dia ditangkap dan dibicarakan di mahkamah, yang mana peguamnya berunding untuk mencapai penyelesaian dengan syarikat parkir.

‘Negara ini tidak berperikemanusiaan’

Namun setelah lapan minggu insiden parkir itu, dia masih tidak mendapat pasportnya semula, yang mana pasport itu diambil oleh pihak mahkamah sebagai syarat jaminan.

Ketika dalam penjara, Ahmed mendakwa suasana di dalam sangat teruk yang mana 50 orang terpaksa berkongsi satu tandas. Dia turut menyatakan seorang pegawai polis mengancam untuk memukulnya.

image is not available

Isteri Ahmed, Lucy, terpaksa membayar hampir £2,425.41 (RM13,231) untuk membebaskannya dari penjara, termasuk bayaran penjamin dan yuran guaman.

“Tiada kebebasan bersuara. Mereka menangkap orang sesuka hati, dan semuanya dilakukan untuk mendapatkan wang,” kata Lucy.

Ahmed turut berkata insiden yang berlaku tidak masuk akal kerana dia sememangnya mahu membayar tiket parkir tetapi mesin parkir tidak berfungsi pula ketika itu.

Pada awalnya, Ahmed bercadang untuk berpindah ke Malaysia bersama keluarganya namun terpaksa berfikir semula tentang keputusan itu selepas apa yang berlaku.

Difahamkan, Ahmed perlu hadir semula di mahkamah pada 17 Februari namun dia tidak mengetahui sebabnya.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.