
Kota Kinabalu: Seorang pelancong warga China maut selepas terjatuh dari tingkat sembilan sebuah hotel di sepanjang Jalan Haji Saman, berhampiran Jalan Gaya, di sini, pagi Ahad.
Wanita itu, dipercayai berusia lingkungan 30-an, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas jatuh ke atas sebuah kereta Proton Persona yang diletakkan di kawasan itu.
Difahamkan, mangsa sedang bercuti di Kota Kinabalu bersama suaminya.
Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 7 pagi sebelum anggota polis dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejatuhan,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat.
Kes buat masa ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.



