
KUALA LUMPUR – Tindakan dipercayai dilakukan oleh sepasang pelancong asing yang membiarkan anak mereka membuang air di dalam tong sampah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencetuskan kemarahan orang ramai selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.
Menerusi hantaran di platform Threads oleh pengguna dikenali sebagai Oklatuu700, pasangan berkenaan didakwa tidak membawa anak mereka ke tandas walaupun kemudahan itu dikatakan berada berhampiran, sebaliknya membiarkan kanak-kanak tersebut membuang air di dalam tong sampah di kawasan awam lapangan terbang.
Menurut pemilik hantaran itu, tindakan berkenaan bukan sahaja menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penumpang, malah dianggap tidak menghormati kebersihan tempat awam serta membebankan pekerja pembersihan.
“Ke manakah adab manusia ini? Padahal tandas dekat je untuk bawa anak membuang air. Boleh suka-suka biarkan anak buang najis yang busuk di tong sampah ni.
“Kasihan pekerja pembersihan nak kena bersihkan tong sampah dan kasihan penumpang kena hadap bau busuk?” katanya.
Beliau turut mendakwa wanita terbabit dipercayai hanya menuju ke tandas untuk mencuci tangan selepas anaknya selesai membuang air di dalam tong sampah tersebut.
“Patut kena tindakan khidmat masyarakat ke kalau macam ini? Tolong lah beradab sikit di tempat awam. Jangan jadi pengotor,” ujarnya lagi.
Perkongsian itu pantas mendapat perhatian pengguna media sosial dengan rata-rata melahirkan rasa kecewa dan menyifatkan perbuatan berkenaan sebagai tidak bertanggungjawab serta tidak menghormati norma kebersihan di negara ini.
Seorang pengguna, Ashuha_ily24, berkata tindakan sedemikian tidak sepatutnya berlaku di kawasan awam yang digunakan oleh ribuan orang setiap hari.
“Geramnya aku tengok dengan sikap pengotor diorang ni. Sudah-sudah lah, jangan bawa perangai pengotor ni kat tempat orang. Hormat lah sikit,” katanya.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak pengurusan KLIA berhubung insiden yang tular itu. Keaslian rakaman serta identiti individu yang terlibat juga belum dapat disahkan secara bebas.



