
IPOH, 28 SEPT: Pelancong warganegara India dilaporkan hilang selepas mendaki Gunung Jasar, Tanah Rata, Cameron Highlands sejak 22 September.
Ketua Polis Daerah Cameron Higlands DSP Azri Ramli dalam kenyataan memaklumkan Nandan Suresh Nadkarni, 44, mendaftar masuk ke Hikers Sleep Port Guest House, Tanah Rata pada 19 September dan sepatutnya mendaftar keluar pada 24 September.
“Pada 25 September, polis menerima satu laporan polis yang dibuat pengurus hotel memaklumkan kehilangan lelaki itu sejak 22 September.
“Hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) hotel mendapati mangsa keluar dari hotel pada 9 pagi, 22 September dan dan tidak pulang ke hotel sehingga 24 September.
“Hasil siasatan awal polis mendapati pada 22 September mangsa keluar dari hotel seorang diri untuk melakukan aktiviti pendakian di trail 10 Gunung Jasar, Tanah Rata berdasarkan beberapa rakaman CCTV yang diperoleh di sekitar kawasan Tanah Rata,” katanya.
Beliau berkata sebagai tindakan susulan, polis menubuhkan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dan memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disertai pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Azri menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu dan sekiranya mempunyai sebarang maklumat, boleh menghubungi bilik gerakan (DCC) menerusi talian 05-4915999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak menularkan maklumat tidak sahih, katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pahang Zulfadli Zakaria berkata SAR yang ditangguhkan semalam disambung semula 8 pagi tadi meilbatkan pelbagai agensi termasuk malim gunung dan anjing pengesan.
“Berdasarkan maklumat yang diterima pada 3 petang semalam daripada roaming maxis mengatakan isyarat terakhir dikesan melalui pencawang Habu Height pada 1.04 tengah hari, 22 September.
“Anggota SAR juga membuat pemantauan dron di kawasan air terjun di sekitar kawasan Sungai Ubi,” katanya.
– BERNAMA
The post Pelancong warga India hilang ketika daki Gunung Jasar, Cameron Highlands appeared first on Selangorkini.
