Pendaki hilang: Kesan tapak kaki ditemui kemungkinan jejak mangsa

28 Sep 2023 • 8:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian pada Khamis.

IPOH - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pelancong dari ini India yang hilang sejak 22 September lalu ketika mendaki Gunung Jasar, Cameron Highlands yang disambung pada Khamis menemukan kesan tapak kaki berkemungkinan jejak mangsa.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pasukan team D yang mencari di sekitar Sg Ubi, iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), menemukan kesan tapak kaki dan kesan dilalui orang.

"Komander Ops menganggapkan berkemungkinan jejak mangsa, pencarian hari ini telah fokus dalam radius 5 kilometer, melibatkan kawasan denai melibatkan tempat terlibat bermula di Gunung Jasar dan Kampar PAS menghala ke Bharat Tea,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, sasaran pencarian ialah sekitar 500 meter dari Gunung Jasar menggunakan sweeping kiri kanan denai secara menyeluruh.

Bagaimanapun, SAR yang mengandungi kekuatan lebih 70 anggota itu ditangguhkan petang tadi dan perancangan operasi esok akan memfokuskan di kawasan menghala jejak yang dikesan, iaitu 500 meter dari puncak Gunung Jasar.

"Pencarian juga akan memfokuskan kawasan cerun dan ‘off trail’ di sekitar kawasan yang mempunyai jejak,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Cameron Higlands Deputi Superintenden Azri Ramli dalam kenyataan memaklumkan, Nandan Suresh Nadkarni, 44, dilaporkan hilang selepas mendaki Gunung Jasar, Tanah Rata, Cameron Highlands sejak 22 September lepas.

Mangsa telah mendaftar masuk ke Hikers Sleep Port Guest House, Tanah Rata pada 19 Sept dan sepatutnya mendaftar keluar pada 24 Sept.

Hasil siasatan awal polis mendapati pada 22 Sept, mangsa telah keluar dari hotel seorang diri untuk melakukan aktiviti pendakian di trail 10 Gunung Jasar, Tanah Rata berdasarkan beberapa rakaman CCTV yang diperoleh di sekitar kawasan Tanah Rata. - Bernama