
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Tak dinafikan setiap individu mempunyai kesusahan yang sedang dihadapi, namun kehidupan tetap diteruskan dengan tabah dan sabar.
Walau bagaimanapun, Allah SWT juga memberikan rezeki dengan cara tak dijangka seperti datangnya insan tak dikenali untuk membantu dan sebagainya.
Pelanggan bantu rider alami rantai tercabut ketika nak hantar barang kerumahnya
Baru-baru ini seorang wanita yang dikenali sebagai Zue Razak telah berkongsi kisah dia membantu seorang rider penghantar barang yang sedang dalam kesusahan.
Menerusi hantaran itu, Zue memaklumkan awalnya dia menerima mesej dari rider, Zamri memberitahu kelewatannya menghantar barang ke rumah wanita berkenaan kerana rantai motosikal tercabut.
Zue kemudian menyangka Zamri mungkin tersilap menghantar mesej tersebut kerana dia tidak membuat sebarang pesanan. Namun kiriman barangan tersebut adalah daripada anaknya, Fayyadh.
Zue kemudian menjelaskan rider berkenaan tidak perlu tergesa-gesa dan mintanya menyelesaikan dahulu masalah motosikal berkenaan.
Anak kasihan rider alami motosikal rosak, wanita sanggup pergi ambil dan hulur sumbangan
Tidak lama selepas itu, dia lalu menerima panggilan daripada anaknya memaklumkan keadaan rider tersebut.
“Saya tanya dia (rider) ada di mana? Saya kata saya boleh pergi jumpa dia. Anak saya cakap dengan suara kesian ‘kesian ummi, dia kata ni penghantaran pertama dia hari ini. Baru dapat RM26.’
“Entah kenapa hati saya terus sebak,” ujarnya. Malah mereka turut berniat untuk memberikan sedikit sumbangan kepada rider tersebut untuk membantunya.
Apabila berjumpa dengan rider tersebut dia kemudian mengambil barangan yang dikirim iaitu bunga dan menghulurkan duit sumbangan kepadanya.
Namun rider berkenaan enggan menerimanya dan Zue mengatakan sekiranya Zamri tidak mengambil duit tersebut maka dia juga tidak mahu mengambil bunga berkenaan.
“Masa balik tu, hati saya terdetik nak lalu semula tempat rider tadi. Saya nampak dia tengah betulkan motor sambil mengesat air mata. Saya terus parkir kereta dan pergi dekat dia.”
Rider ucap terima kasih kerana beri bantuan ketika dalam kesusahan
Dia turut bertanya dimanakah rumah rider berkenaan, dan Zamri mengatakan di Ampang. Zue terkejut mendengar jawapan tersebut dan menyifatkan ia adalah perjalanan yang jauh kerana barang tersebut dihantar di Bangi, Selangor.
Zue kemudian memberikan kata-kata semangat kepada rider berkenaan yang mungkin ketika itu sedih atas perkara yang berlaku.
Malah dia turut memaklumkan rider berkenaan sampai di kediamannya di Ampang sekitar dua jam selepas mereka berjumpa.
Katanya rider tersebut turut menghantar pesanan suara di telefon anaknya dan kedengaran suara sebak mengucapkan terima kasih atas bantuan yang diberikan.
“Allah hantar adik rider ni kepada kami untuk dibantu. Alhamdulillah, dapat bantu walaupun tak seberapa. Cukuplah untuk dia baiki (duit yang diberikan) motor dia esok hari,” katanya.
View on Threads
Rider doakan Allah balas jasa baik pelanggan
Dalam hantaran sama, Zue turut berkongsi tangkap layar perbulan WhatsApp bersama rider berkenaan.
Rider itu turut mendoakan semoga Allah SWT membalas jasa mereka. Bahkan dia juga dilihat jujur apabila ingin memulangkan semula baki duit selepas membetulkan motosikal tersebut.
Namun Zue memintanya menggunakan wang tersebut dan tidak mahu ia dipulangkan atau diganti semula.
View on Threads
Ramai sebak dan puji sikap baik bantu rider
Melihat di ruangan balas, ramai yang sebak dan memuji sifat ihsan Zue dan anaknya yang datang menghulurkan bantuan kepada rider tersebut.
Malah ramai mendoakan agar Zue dan anaknya diberikan ganjaran pahala atas kebaikan itu.
Ada juga menyifatkan anak lelaki Zue mempunyai sifat empati yang begitu tinggi dan seorang yang penyayang.
“Apa ni jam 4 pagi baca threads ni sambil nangis. Kalau rider tak ada mak, lagi dia tersentuh dengan kebaikan aunty”

“Patutlah anak aunty tinggi empati dan penyayang, ibunya pun baik. Tahu dah ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasinya. Best lah baca aunty, anak aunty dan rider tu semua orang baik tinggi adab.”

“MasyAllah TabarakAllah terima kasih bantu dan semoga dipermudahkan urusan semua yang terlibat. Sebak pula bacanya pagi-pagi subuh ni”

