‘Pelangi selepas taufan, tak sangka bertemu jodoh secepat ini’

26 Sep 2026 • 4:52 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Pelangi selepas taufan, tak sangka bertemu jodoh secepat ini’

CYBERJAYA – “Saya tidak sangka akan bertemu jodoh semula secepat ini”. 

Itu respons pelakon dan peragawati sensasi, Zahnita Wilson saat ditanya tentang perasaannya kembali bergelar isteri. 

Menurut Zahnita atau nama lengkapnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 41, apa yang berlaku dalam hidupnya boleh diibaratkan seperti pelangi yang muncul selepas hujan. 

“Alhamdulillah saya sangat bersyukur majlis akad nikah saya berjalan dengan lancar. Allah permudahkan segalanya. Sebenarnya saya masih ‘digest’ dengan apa yang berlaku hari ini. 

“Selepas apa yang berlaku dalam hidup saya sebelum ini, saya anggap momen ini seperti pelangi yang hadir selepas ribut taufan,” katanya ketika ditemui usai majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Haji Fi Sabilillah, di sini, semalam. 

Tambah Zahnita, kebahagiaannya berganda apabila tiga orang anak perempuannya, Zahfareena, 19, Zasharayna, 14 dan Zahlia Syawwal, 9 turut hadir menyaksikan hari bahagianya. 

“Saya sangat gembira tiga orang anak perempuan saya ada bersama dengan saya hari ini. Malah mereka menggalas tugas sebagai ‘dulang girl’,” jelasnya. 

Tenang dan lebih banyak tersenyum di sisi, Farouk Osman Yunus, 46, yang kini bergelar suami Zahnita awalnya tidak mengetahui wanita tinggi lampai itu seorang selebriti sebelum ini. 

“Sejujurnya saya tak tahu pun dia (Zahnita) seorang selebriti sebelum ini. Tetapi hari ini dia sudah bergelar isteri saya,” kata Farouk yang bekerja dalam sektor kewangan

Ditanya apa yang membuatkan hatinya tertarik terhadap Zahnita sehingga membuat keputusan untuk hidup bersama, lelaki yang sebelum ini berstatus duda tanpa anak itu terus sebak dan kehilangan kata-kata. 

“Maaf saya kehilangan kata-kata. Tetapi saya mencintainya bukan kerana kecantikannya. Dia lebih daripada itu. Dia sahabat saya,” katanya sambil menahan sebak dan menyapu air mata. 

Berkahwin kali kedua ketika masing-masing melewati usia 40-an, pasangan itu menyerahkan soal zuriat kepada Yang Maha Esa, sekiranya diberikan rezeki, mereka terbuka untuk menimang cahaya mata baharu. 

“Mungkin bukan dalam waktu terdekat ini. Tetapi kami tak menolak sekiranya diberikan rezeki,” kata Zahnita. 

Bercakap soal bulan madu, kata Zahnita dia dan suami masih belum menetapkan lokasi dan masih mencari-cari destinasi yang sesuai. 

Terdahulu Zahnita dan Farouk selamat diijabkabulkan sebagai suami isteri hanya dengan sekali lafaz pada pukul 11.25 pagi tadi. Zahnita dinikahkan oleh walinya iaitu abang kandungnya sendiri dalam majlis yang hanya dihadir keluarga terdekat. – KOSMO ONLINE!

 

The post ‘Pelangi selepas taufan, tak sangka bertemu jodoh secepat ini’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved