
BUKIT MERTAJAM — Pelantikan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu dilihat sebagai langkah tepat untuk memperkukuh kepimpinan agensi berkenaan.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan latar belakang Abdul Halim dalam badan kehakiman serta rekod bersih tanpa penglibatan dalam mana-mana perniagaan besar atau parti politik tempatan.
“Beliau mempunyai integriti dan pengalaman yang sesuai untuk menerajui SPRM serta meningkatkan lagi keupayaan agensi itu,” katanya.
Menurut laporan Bernama, Anwar turut memaklumkan bahawa beliau telah menghadap Sultan Ibrahim bagi membincangkan pelantikan tersebut, yang kemudiannya diperkenankan untuk tempoh dua tahun.
Pelantikan Abdul Halim, 69, akan berkuat kuasa bermula 13 Mei ini, selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694).
Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar turut mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan rasmi.
Penghargaan Buat Azam Baki
Dalam pada itu, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada penyandang jawatan ketika ini, Azam Baki yang akan menamatkan perkhidmatan pada 12 Mei, atas sumbangan dan khidmat beliau sepanjang menerajui SPRM.
Terdahulu, Perdana Menteri menghadiri Majlis Pengiktirafan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai Pusat Transformasi Digital Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di NADI Kubang Semang. – The Malaysian Update
The post Pelantikan Abdul Halim Ketua Pesuruhjaya SPRM Disifatkan Tepat appeared first on The Malaysian Update.






