Pelantikan kepimpinan baharu perkukuh Bersatu Melaka

LocalPolitics
11 Mar 2026 • 12:23 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Radzi

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka melantik barisan kepimpinan baharu melibatkan jawatan Ketua Bahagian (Penaja), Timbalan Ketua Bahagian (Penaja) dan Naib Ketua Bahagian (Penaja) bagi lima bahagian di negeri itu.

Naib Presiden Bersatu merangkap Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata, pelantikan tersebut dibuat selepas melalui penelitian menyeluruh dengan mengambil kira pengalaman, daya kepimpinan serta sumbangan khidmat masyarakat.

Bahagian yang terlibat ialah Masjid Tanah, Alor Gajah, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya dan Jasin.

Jelasnya, langkah itu juga bertujuan memperkukuh struktur kepimpinan parti di peringkat bahagian melalui gabungan pemimpin berpengalaman, tokoh muda, golongan profesional dan aktivis masyarakat.

“Gabungan pelbagai pengalaman dan kepakaran ini akan memastikan Bersatu terus meraih kepercayaan masyarakat melalui pendekatan lebih segar serta memahami denyut nadi rakyat.

“Pada masa sama, kepimpinan baharu ini diharapkan mampu memperjuangkan agenda kesejahteraan rakyat khususnya di Melaka,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Radzi berkata, Bersatu Melaka kini perlu bersiap siaga mendepani cabaran politik semasa selain memberi tumpuan kepada usaha memperkemas organisasi parti dan memperkukuh jentera di semua peringkat.

Katanya, keputusan itu penting sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Pelantikan ini juga diyakini dapat memperkukuh kerjasama antara Bersatu dan parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional melalui gerak kerja politik yang lebih strategik.

“Ia sekali gus membolehkan khidmat kepada rakyat dilaksanakan secara lebih tersusun, teratur dan berkesan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh ahli Bersatu Melaka supaya memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan baharu berkenaan.

“Kekuatan Bersatu bergantung kepada kesatuan saf dan kesediaan semua ahli untuk bergerak sebagai satu pasukan demi memperjuangkan kepentingan rakyat,” katanya.