Nolee Ashilin pemangku Ketua Srikandi, Sanjivan terajui Sayap Bersekutu Bersatu

LocalPolitics
10 Mar 2026 • 9:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Nolee Ashilin

KUALA LUMPUR - Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dilantik sebagai Pemangku Ketua SrIkandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) manakala Datuk Seri R Sanjivan sebagai Pemangku Ketua Sayap Bersekutu parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelantikan tersebut diputuskan secara sebulat suara oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dalam mesyuarat yang diadakan pada Selasa.

Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi memastikan kelangsungan kepimpinan kedua-dua sayap parti berkenaan berjalan lancar.

Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan tiada mana-mana bahagian Bersatu yang dibubarkan seperti yang didakwa oleh pihak tertentu sejak kebelakangan ini.

Beliau menjelaskan bahawa mengikut perlembagaan parti, hanya Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mempunyai kuasa untuk membubarkan bahagian.

“Tidak ada bahagian yang berjaya dibubarkan. Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, selepas peristiwa pemecatan Timbalan Presiden, ada pihak mendakwa beberapa bahagian mengisytiharkan pembubaran.

“Sebenarnya mengikut perlembagaan parti, tidak ada pihak kecuali MPT Bersatu sahaja yang mempunyai kuasa untuk membubarkan bahagian,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MPT Bersatu di sini.

Muhyiddin berkata, situasi yang berlaku ketika ini sebenarnya melibatkan pemberhentian atau peletakan jawatan oleh beberapa individu dalam kepimpinan bahagian.

Menurutnya, susulan perkembangan itu, parti akan menggunakan kuasa petugas khas untuk melakukan penyusunan semula kepimpinan di bahagian yang terlibat.

“Apabila berlaku pemberhentian atau peletakan jawatan, kita akan menyusun semula kepimpinan dengan mengisi jawatan yang kosong atau membentuk jawatankuasa penaja di bahagian berkenaan,” ujarnya.

Tambah beliau, keadaan sebenar di peringkat bahagian tidaklah sebesar seperti yang digambarkan oleh pihak tertentu.

Menurutnya, majoriti bahagian parti itu masih berfungsi seperti biasa dan tidak terjejas dengan perkembangan berkenaan.

Pelantikan pemangku kepimpinan itu dibuat susulan kekosongan jawatan selepas bekas Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan bekas Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Datuk Dr Dr Chong Fat Full sebelum ini tidak lagi memegang jawatan berkenaan.

Mas Ermieyati sebelum ini merupakan pemimpin wanita utama Bersatu yang pernah memimpin sayap Srikandi parti tersebut, manakala Chin Fatt pula mengetuai Sayap Bersekutu yang menghimpunkan anggota bukan bumiputera dalam Bersatu.