
PETALING JAYA – Penempatan sementara 113 pelarian termasuk 110 etnik Rohingya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dibuat mengikut prosedur sedia ada kerana mereka bukan dalam kategori warga asing yang boleh ditempatkan di depoh tahanan Imigresen.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, depoh tahanan Imigresen hanya digunakan untuk menempatkan warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan atau dokumen sah.
Menurut beliau, kesemua pelarian terbabit kini berada di bawah pengawasan sementara Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga lokasi penempatan baharu diputuskan.
“Kesemua 113 pelarian ini tidak boleh ditempatkan di depoh tahanan Imigresen. Mereka kini berada di bawah pengawasan sementara pihak PDRM sementara menunggu penetapan penempatan mereka dimuktamadkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Zakaria berkata, walaupun mereka memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan dibenarkan berada di Malaysia atas dasar kemanusiaan, mereka tetap tertakluk kepada undang-undang negara.
“Pihak berkuasa tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan peraturan negara,” ujarnya.
Terdahulu media melaporkan, kesemua pelarian Rohingya yang ditempatkan sementara di IPK Kuala Lumpur didapati memiliki dokumen yang sah dikeluarkan oleh UNHCR.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, polis telah memindahkan seramai 113 pelarian ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan kerjasama wakil pejabat UNCHR pada pukul 8.50 malam, semalam.
Jumlah itu terdiri daripada seorang lelaki warga Iraq, seorang wanita warga Somalia dan seorang wanita warga Indonesia yang merupakan isteri kepada pelarian Rohingya.
Selain itu, seramai 110 pelarian Rohingya turut dipindahkan, melibatkan 36 lelaki dewasa, 21 wanita dewasa, 31 kanak-kanak lelaki dan 22 kanak-kanak perempuan. – KOSMO! ONLINE
The post Pelarian Rohingya tidak dihantar ke depoh Imigresen – KP Imigresen appeared first on Kosmo Digital.





