
KUALA LUMPUR – Kesemua 113 pelarian termasuk 110 etnik Rohingya yang ditempatkan sementara di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sejak semalam telah dibawa keluar petang tadi ke lokasi penempatan yang ditetapkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kesemua pelarian berkenaan meninggalkan IPK Kuala Lumpur kira-kira pukul 4 petang.
“Kesemua pelarian berjumlah 113 orang telah bergerak keluar dari IPK Kuala Lumpur menuju ke destinasi yang telah ditetapkan oleh pihak NGO,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu media melaporkan, kesemua pelarian Rohingya yang ditempatkan sementara di IPK Kuala Lumpur didapati memiliki dokumen yang sah dikeluarkan oleh Pesuruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Fadil dilaporkan berkata, polis telah memindahkan seramai 113 pelarian ke IPK Kuala Lumpur dengan kerjasama wakil pejabat UNCHR pada pukul 8.50 malam, semalam.
Jumlah itu terdiri daripada seorang lelaki warga Iraq, seorang wanita warga Somalia dan seorang wanita warga Indonesia yang merupakan isteri kepada pelarian Rohingya.
Selain itu, seramai 110 pelarian Rohingya turut dipindahkan, melibatkan 36 lelaki dewasa, 21 wanita dewasa, 31 kanak-kanak lelaki dan 22 kanak-kanak perempuan. – KOSMO! ONLINE
The post Pelarian Rohingya tinggalkan IPK Kuala Lumpur appeared first on Kosmo Digital.





