‘Pelayaran Diteruskan, Kami Tak Akan Berundur!’ - ZRA

WorldPolitics
1 Oct 2025 • 8:29 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Misi GSF disertai aktivis yang mewakili 45 negara

KUALA LUMPUR - Ketika ini boleh dikatakan semua perhatian tertumpu kepada pelayaran Global Sumud Flotilla (GSF) di Laut Mediterranean.

Berbaki hanya beberapa ketika lagi, mereka bakal berada di Zon Merah menuju ke Gaza, sekali gus berdepan ancaman rejim Zionis yang teramat zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Apakah mereka akan berundur? 

Jawapannya tidak!

Pengendali platform ZRA Strim dan wartawan bebas, Zainal Rashid Ahmad menegaskan, kesemua sukarelawan tetap teguh dengan objektif misi untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin. 

Katanya, kesemua mereka sepakat meneruskan pelayaran dan sama sekali tidak akan berundur, walaupun menyedari bahaya yang bakal menanti.

“Keputusan telah dibuat, tiada ada satu kapal pun akan berudur, kami akan tetap berlayar ke Gaza dan siap berdepan apa pun tindakan yang akan dilakukan oleh pihak Israel,” katanya dengan penuh semangat. 

image is not available
Zainal Rashid Ahmad

Lebih dikenali sebagai ZRA, beliau memberitahu, kapal utama iaitu Alma dan beberapa kapal lain berdepan kepungan IDF sekitar 4 pagi tadi. 

Keadaan genting itu bagaimanapun katanya, tidak mematahkan semangat mereka atau membantutkan hasrat masing-masing untuk meneruskan pelayaran.

“Walaupun sekitar jam 4 pagi waktu di sini pihak tentera IDF telah melancarkan kepungan ke atas kapal utama Alma dan beberapa kapal pengiring yang lain, tiada satu pun kapal akan berundur,” katanya dengan penuh semangat. 

Menerusi hantaran terkini pada jam 9.30 pagi (waktu Laut Mediterranean) itu, ZRA berkata pelayaran GSF memasuki hari ke-14 dan kapal dinaikinya terpaksa berlayar pada kelajuan empat knot, selepas mengalami kerosakan pada layar kedua.

“Kami sekarang bergerak dengan hanya menggunakan satu layar sahaja,” katanya. 

Kini berada sekitar 120 batu nautika dari pantai Gaza, ZRA berkata, keadaan masih tenang tetapi semua sukarelawan sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

ZRA ialah antara wakil Malaysia yang terpilih mengikuti misi GSF bersama aktivis lain dari 45 negara untuk memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza.

Misi yang turut disertai beberapa pempengaruh dan artis seperti Zizi Kirana dan Farah Lee itu berdepan pelbagai cabaran, termasuk kerosakan pada beberapa kapal dan masalah kesihatan peserta. 

GSF membawa bersama bekalan ubat-ubatan, makanan dan keperluan asas lain buat penduduk Gaza, yang sekian lama menderita akibat kezaliman Zionis. 

Misi itu turut membawa desakan global agar Israel mengakhiri kepungan terhadap Gaza, sekali gus membenarkan akses koridor kemanusiaan di wilayah berkenaan. - Getaran, 1 Oktober 2025