Pelbagai program Islamiah di Membakut sepanjang Ramadan

3 Mar 2025 • 4:36 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Iskandar Dzulkifli

MEMBAKUT: Pejabat Adun Membakut akan menganjurkan pelbagai program keagamaan sepanjang Ramadan di kawasan ini.

Adunnya, Datuk Dr Ariffin Arif berkata, antaranya Majlis Tadarus Al-Quran Perdana, pertandingan nasyid dan azan, ‘bercucul’ serta banyak lagi sebagai pengisian bulan mulia itu.

“Program-program ini akan diadakan di setiap lapan mukim atau Pusat Daerah Mengundi (PDM) termasuk di semua kampung di kawasan ini.

“Kita juga akan adakan Perhimpunan Bersama Mualaf membabitkan sumbangan kepada 600 orang mualaf yang merupakan program tahunan kita sejak 10 tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyerahan Bingkisan Ramadan di Dewan Sri Wawasan Kampung Pimping, di sini, Jumaat lalu.

Ariffin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, sebanyak 3,466 pek Ramadan diagihkan kepada ketua isi rumah (KIR) yang meraikan Ramadan di seluruh Membakut.

Katanya, ia adalah acara tahunan pihaknya membabitkan sumbangan di bawah peruntukan Adun dan diselaraskan bersama pemimpin masyarakat akar umbi setempat.

“Bingkisan Ramadan ini daripada peruntukan khas kita untuk dibahagikan kepada semua KIR yang meraikan Ramadan dan Aidilfitri.

“Program ini juga kita laksanakan setiap tahun bagi meraikan masyarakat Islam di kawasan ini sempena Ramadan tidak lama lagi,” katanya.

Ariffin turut memaklumkan sebagaimana dilaksanakan pada tahun sebelumnya, pihaknya juga akan menyantuni dan memberikan sumbangan kepada semua peniaga bazar Ramadan di kawasan ini.

Katanya, kira-kira 100 peniaga akan mendapat manfaat daripada usaha berkenaan, sekali gus membantu ekonomi peniaga terlibat khususnya modal perniagaan.

“Sebagaimana tahun sebelum ini, kita bantu mereka untuk menjana ekonomi dan sedikit sebanyak meringankan beban mereka khususnya modal perniagaan,” katanya.