Peletakan jawatan EY dan CFO tidak jejas hala tuju, Symphony Life terus pacu pertumbuhan

03/09/2025 - 14:51
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 3 Sept – Symphony Life Bhd mengakui bahawa firma audit luarnya, Ernst & Young PLT (EY) serta Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Wong Mei Sin telah meletakkan jawatan baru-baru ini, namun syarikat menegaskan ia tetap teguh dan komited meneruskan agenda transformasi.
Syarikat pemaju hartanah itu mengesahkan EY telah meletakkan jawatan secara sukarela melalui notis bertarikh 29 Ogos 2025 manakala Wong Mei Sin telah meletakkan jawatan berkuat kuasa 31 Ogos 2025 atas sebab peribadi.
Pengarah Urusannya, Datuk Kenneth Vun Yun Liun berkata, kedua-dua peletakan jawatan itu adalah bebas, tidak berkaitan antara satu sama lain serta tidak melibatkan sebarang isu kebimbangan atau perselisihan faham dengan Lembaga Pengarah mahu pun syarikat.
“Symphony Life kini berada dalam fasa pembaharuan. Perubahan ini sebahagian daripada langkah penstrukturan semula lebih besar untuk memperkukuh tadbir urus, kepimpinan kewangan dan disiplin operasi kami.
“Kami juga sedang dalam proses melantik juruaudit luar baharu bagi memastikan kesinambungan dan mengekalkan piawaian akauntabiliti tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, agenda transformasi Symphony Life jelas, iaitu membina organisasi lebih kukuh dan mampan dengan komitmen penuh terhadap keuntungan serta pertumbuhan jangka panjang.
Bagi suku berakhir 30 Jun 2025, Symphony Life mencatat keuntungan bersih sebanyak RM4.22 juta dengan hasil RM10.02 juta, menamatkan siri kerugian yang direkodkan dalam tahun-tahun kewangan sebelumnya.
Prestasi itu disifatkan sebagai pencapaian penting dalam usaha pemulihan syarikat dan membuktikan keberkesanan awal strategi penstrukturan semula yang dilaksanakan.
Mengulas lanjut, Kenneth Vun berkata, Symphony Life akan terus berpegang pada prinsip ketelusan, akauntabiliti serta fokus mencipta nilai kepada pemegang saham sebagai tonggak utama perjalanan transformasi syarikat.
“Matlamat kami adalah untuk memastikan Symphony Life menjadi lebih berdaya saing, mampan dan terus memberi pulangan yang baik kepada pelabur,” jelasnya.
Dengan pengalaman lebih 60 tahun dalam pembangunan kediaman, komersial dan projek bercampur, Symphony Life berazam untuk terus memainkan peranan dalam membentuk landskap bandar Malaysia melalui komuniti masa depan yang inovatif dan berorientasikan gaya hodup moden. - DagangNews.com
standard
