CEO Ivory Properties Datuk Low Eng Hock letak jawatan

25/08/2025 - 10:28
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 25 Ogos – Ivory Properties Group Bhd mengumumkan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Low Eng Hock berkuat kuasa 22 Ogos 2025 atas alasan peribadi.
Peletakan jawatan itu dibuat, hanya sehari selepas Ivory properties mengesahkan bahawa beliau sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan berhubung skim kontroversi MBI International.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, Eng Hock 62, turut melepaskan jawatan sebagai Pengarah Eksekutif serta semua jawatan lain dalam kumpulan.
Beliau adalah pemegang saham utama dengan pegangan langsung sebanyak 84.54 juta saham atau 17.25 peratus dan kepentingan tidak langsung 28.23 juta saham (5.76 peratus).
Beliau juga merupakan bapa kepada Pengarah Eksekutif, Low Wei Shane serta suami kepada pemegang saham besar, Datin Khoo Siew Siew.
Ivory Properties bagaimanapun menegaskan tiada sebarang perselisihan faham berlaku dengan lembaga pengarah dan tiada isu yang memerlukan perhatian pemegang saham berhubung peletakan jawatan tersebut.
Setakat ini, Ivory Properties masih belum menamakan pengganti baharu jawatan tersebut.
Saham Ivory sebelum ini menjunam 75 peratus dalam satu sesi dagangan pada Jumaat lalu, merudum ke paras terendah setengah sen selepas Bursa menolak rayuan syarikat untuk mendapatkan tempoh tambahan bagi mengemukakan pelan pemulihan. - DagangNews.com
standard


