KUALA LUMPUR – Keputusan Syed Hasan Syed Ali meletakkan jawatan sebagai Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) adalah langkah bertanggungjawab bagi menyelamatkan imej serta peranan pertubuhan itu.
Pengasas dan bekas Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali menyifatkan tindakan tersebut penting bagi memastikan Perkasa kekal sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bebas daripada pengaruh politik kepartian.
“Keputusan ini satu langkah yang bertanggungjawab demi menyelamatkan imej dan peranan Perkasa sebagai NGO yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, Syed Hasan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden Perkasa yang akan berkuat kuasa pada 1 April ini.
Ketua Penerangan Perkasa, Azrol Mansor berkata, keputusan itu dimaklumkan Syed Hasan dalam Mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Perkasa yang berlangsung di Dewan Aminuddin Baki, Wisma Sejarah di sini pada Ahad.
Menurut Ibrahim, sebelum ini Syed Hasan dilihat terlibat secara aktif dalam kempen politik berkaitan krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara terbuka dengan pendirian yang memihak.
Katanya, keadaan itu menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli kerana Perkasa sepatutnya kekal sebagai organisasi masyarakat sivil yang bebas daripada pengaruh politik parti.
“Jika beliau menyokong perjuangan Bersatu atas nama kepentingan Melayu serta memainkan peranan ke arah penyatuan Melayu tanpa memihak, sebaliknya menyumbang kepada perpaduan dan merapatkan kepimpinan bagi membantu memperkukuhkan organisasi politik Melayu, beliau mungkin akan dihargai dan tidak menimbulkan pelbagai persepsi,” ujarnya.
Ibrahim turut mengimbas kembali tindakannya ketika memimpin Perkasa apabila memilih untuk berundur daripada jawatan Presiden sebaik kembali aktif dalam politik.
“Sebagai pengasas dan Presiden Perkasa sejak tahun 2008 hingga 2019, apabila saya membuat keputusan untuk kembali aktif dalam politik, saya mengundurkan diri daripada memimpin Perkasa.
“Tindakan ini bertujuan mengekalkan imej Perkasa sebagai sebuah NGO yang bebas daripada politik dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik,” katanya.
Beliau menambah, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang ditubuhkan hasil resolusi Persidangan Agung Tahunan Perkasa 2018 juga tidak pernah dilibatkan dengan Perkasa.
“Maka Perkasa kekal sebagai sebuah NGO yang bebas daripada politik,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ibrahim berharap Perkasa terus memainkan peranan mempertahankan agenda Islam dan Melayu tanpa terlibat secara langsung dalam pertikaian kepimpinan parti politik.
Menurutnya, pertubuhan berkenaan perlu menyokong atau mengkritik mana-mana parti berdasarkan isu berkaitan kepentingan Islam dan Melayu serta menentang secara tegas mana-mana pihak yang menggugat asas Perlembagaan negara.

