Pelikuidasi Serba Dinamik saman KPMG berhubung kecuaian audit, tuntut ganti rugi dianggarkan RM1.56 bilion

LocalBusiness & Finance
5 Aug 2026 • 9:32 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelikuidasi Serba Dinamik saman KPMG berhubung kecuaian audit, tuntut ganti rugi dianggarkan RM1.56 bilion Image from: Pelikuidasi Serba Dinamik saman KPMG berhubung kecuaian audit, tuntut ganti rugi dianggarkan RM1.56 bilion hamden05/08/2026 - 09:32

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Pelikuidasi Serba Dinamik Holdings Bhd (Serba Dinamik) dan tiga anak syarikatnya memfailkan saman sivil terhadap KPMG PLT dengan menuntut ganti rugi sekurang-kurangnya RM1.56 bilion (AS$391 juta) berserta faedah atas dakwaan kecuaian dalam menjalankan audit kumpulan itu bagi tahun kewangan 2016 hingga 2019.

 

Berdasarkan penyata tuntutan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 Ogos 2026, empat syarikat yang kini dalam proses penggulungan itu, menerusi pelikuidasi Victor Saw Seng Kee, mendakwa kumpulan berkenaan telah mengambil pelbagai keputusan kewangan penting berdasarkan pendapat audit tanpa teguran (clean audit opinions) yang dikeluarkan KPMG sepanjang tempoh berkenaan.

 

Plaintif berhujah bahawa sekiranya KPMG melaksanakan prosedur audit yang mencukupi mengikut piawaian profesional, salah nyata dalam penyata kewangan kumpulan sepatutnya dapat dikesan lebih awal dan bukannya hanya dibangkitkan ketika audit bagi tahun kewangan 2020, lapor The Edge.

 

Serba Dinamik sebelum ini mempertikaikan isu audit yang dibangkitkan KPMG pada 2021, sebelum firma audit itu meletakkan jawatan tanpa melengkapkan pengauditan susulan pertikaian undang-undang. Syarikat itu kemudiannya diklasifikasikan sebagai syarikat di bawah status Amalan Nota 17 (PN17) pada 2022 selepas juruaudit lain mengeluarkan penafian pendapat terhadap penyata kewangannya.

 

Menurut tuntutan itu, pergantungan kepada pendapat audit tanpa teguran tersebut menyebabkan kumpulan membuat beberapa pembayaran yang sepatutnya tidak berlaku sekiranya kedudukan kewangan sebenar diketahui.

 

Antaranya ialah pembayaran dividen berjumlah RM1.795 bilion, kos pembiayaan sebanyak RM851 juta termasuk bayaran faedah dan keuntungan daripada pinjaman serta pembiayaan kumpulan, selain pembayaran cukai pendapatan berjumlah RM161.5 juta berdasarkan keuntungan yang didakwa berpunca daripada lebihan pengiktirafan hasil.

 

Empat syarikat yang menjadi plaintif dalam tindakan undang-undang itu ialah Serba Dinamik Holdings Bhd (SDHB), Serba Dinamik Sdn. Bhd. (SDSB), Serba Dinamik Group Bhd. (SDGB) dan Serba Dinamik International Ltd. (SDIL).

 

Serba Dinamik bersama empat pegawai kanannya, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan, Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah, sebelum ini didakwa oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 2021 kerana mengemukakan kenyataan palsu kepada Bursa Malaysia berhubung hasil syarikat sebanyak RM6.014 bilion bagi tahun kewangan 2020. Kes tersebut berakhir dengan pengenaan kompaun keseluruhan RM16 juta.

 

Syarikat itu akhirnya dinyahsenaraikan daripada Bursa Malaysia pada 5 Jun 2024 selepas gagal mengemukakan pelan regularisasi di bawah PN17.

 

Kegagalan Kesan Lebihan Pengiktirafan Punca Kejatuhan

Menurut penyata tuntutan yang dilihat The Edge, plaintif mendakwa kegagalan KPMG mengesan lebihan pengiktirafan hasil yang besar merupakan antara faktor yang akhirnya membawa kepada kejatuhan kumpulan tersebut.

 

Plaintif turut mendakwa penyata kewangan kumpulan bagi tahun kewangan 2016 hingga 2019 yang diaudit KPMG mengandungi salah nyata yang material dan gagal memberikan gambaran yang benar serta saksama mengenai kedudukan kewangan kumpulan, dengan hasil yang dilaporkan terlebih nyata antara 62% hingga 87% setiap tahun.

 

Hasil siasatan yang dijalankan oleh pelikuidasi mendapati lebihan pengiktirafan hasil itu didakwa berpunca terutamanya daripada jualan rekaan kepada tujuh pelanggan domestik menerusi SDSB dan 13 pelanggan antarabangsa menerusi SDIL.

 

Sebagai contoh, bagi tahun kewangan 2018, hasil konsolidasi kumpulan yang dilaporkan sebanyak RM3.28 bilion didakwa terlebih nyata sebanyak RM2.85 bilion atau 87%.

 

Bagi tahun kewangan 2019 pula, SDSB dilaporkan merekodkan jualan RM1.13 bilion kepada tujuh pelanggan domestik, namun pelanggan terbabit mengesahkan nilai jualan sebenar hanyalah RM32.3 juta, sekali gus menunjukkan lebihan pengiktirafan hasil melebihi RM1.1 bilion.

 

Dalam penyata tuntutan itu, pelikuidasi mendakwa penyata kewangan berkenaan mengandungi salah nyata yang material kerana KPMG gagal merancang dan melaksanakan prosedur audit yang mencukupi bagi memperoleh bukti audit yang sesuai serta mencukupi untuk menyokong pendapat auditnya.

 

Plaintif turut mendakwa KPMG gagal mengamalkan tahap skeptisisme profesional walaupun terdapat pertumbuhan hasil yang luar biasa, khususnya membabitkan SDIL, selain cuai apabila membenarkan kakitangan syarikat campur tangan dalam proses pengesahan audit luaran.

 

Jumlah Ganti Rugi

Sehubungan itu, pelikuidasi menuntut ganti rugi yang akan ditaksir oleh mahkamah, yang ketika ini dianggarkan tidak kurang daripada RM1.56 bilion, mewakili kerugian akibat pembayaran dividen, kos pembiayaan dan lebihan cukai yang ditanggung kumpulan.

 

Selain itu, plaintif turut menuntut faedah sebelum penghakiman pada kadar 5% setahun bermula dari tarikh kerugian ditanggung sehingga penyelesaian penuh dibuat.

 

Menurut pelikuidasi, sekiranya KPMG mematuhi tanggungjawab profesionalnya, kumpulan itu sepatutnya telah digulung lebih awal daripada Januari 2023, sekali gus dapat mengelakkan pengumpulan hutang yang besar serta penyusutan modal yang lebih ketara.

 

Pelikuidasi semasa, Victor Saw Seng Kee, dilantik pada 10 Januari 2023 selepas Mahkamah Tinggi memerintahkan penggulungan Serba Dinamik Holdings Bhd dan tiga anak syarikatnya. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved