Peluang Azizulhasni kaut emas pertama Komanwel

31 Jul 2026 • 8:05 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Peluang Azizulhasni kaut emas pertama Komanwel

PETALING JAYA: Tiada lagi peluang selepas ini buat Datuk Azizulhasni Awang apabila jaguh berusia 38 tahun itu bakal mengharungi penampilan terakhirnya di Sukan Komanwel dengan misi memburu satu-satunya pingat emas yang masih belum berjaya dimiliki sepanjang karier gemilangnya.

Acara keirin malam ini menjadi pentas terbaik buat The Pocket Rocketman menamatkan penantian selepas kegagalan meraih emas pada tiga edisi terdahulu, sekali gus melengkapkan koleksi kejuaraan yang pernah dimenanginya di pentas dunia, Asia dan Olimpik.

Laluan Azizulhasni dilihat sedikit terbuka susulan penarikan diri pelumba England, Matthew Richardson akibat kecederaan, namun kehadiran juara bertahan Nicholas Paul, Leigh Hoffman dan pemenang gangsa Birmingham 2022, Muhammad Shah Firdaus Sahrom memastikan saingan kekal sengit.

Ironinya, Azizulhasni pernah berdiri di podium tertinggi keirin Sukan Komanwel Delhi 2010 sebelum dilucutkan kemenangan akibat kesalahan menunggang secara berbahaya, sekali gus menyaksikan pingat emas diserahkan kepada rakan senegaranya, Josiah Ng.

Sejak detik pahit itu, pelumba kelahiran Dungun berkenaan sekadar meraih gangsa di Glasgow 2014 dan menamatkan saingan di tempat keenam pada Gold Coast 2018, sebelum terlepas Birmingham 2022 ketika menjalani pemulihan selepas pembedahan jantung terbuka.

Prestasi semasa bagaimanapun memihak kepada Azizulhasni selepas dia membuktikan masih berbisa apabila menewaskan Richardson dan Harrie Lavreysen untuk menjuarai keirin pada dua pusingan Piala Dunia di Perth serta Nilai tahun ini.

Kini, segala pengalaman, ketenangan dan reputasi yang dibina sepanjang lebih sedekad akan dipertaruhkan buat kali terakhir kerana jika emas Komanwel masih gagal diraih di Glasgow, impian itu akan kekal menjadi satu-satunya kekosongan dalam karier legenda berbasikal trek negara. – UTUSAN

The post Peluang Azizulhasni kaut emas pertama Komanwel appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved