Peluang dapatkan barang dapur murah, kunjungi Wisma PKPS 8 malam esok

29 Aug 2024 • 10:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SHAH ALAM, 29 OGOS: Orang ramai berpeluang mendapatkan barangan dapur murah di Jualan Ehsan Rahmah (JER) ‘Jiwa Merdeka’ di hadapan Wisma PKPS di sini pada 8 malam esok.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan jualan murah berkenaan dianjurkan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 peringkat negeri yang disambut di Dataran Kemerdekaan di sini.

“Istimewa sempena Merdeka ke-67 tahun, Jualan Ehsan Rahmah bakal menemui anda semua sebelum detik 31 Ogos menjelma.

“Jom berjimat di JER, kami tunggu di Wisma PKPS,” tulisnya di Facebook.

image is not available

JER menawarkan ayam serendah RM10 seekor, daging pejal (RM10/pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).

Jualan sama turut menawarkan ikan kembung pada harga RM6 satu pek, minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti atas kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER.

Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) kerana menganjurkan jualan bersubsidi terbesar.