
PENYERANG tempatan perlu merebut peluang terbaik untuk menambat hati pengendali sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe bagi menggalas tanggungjawab dalam dua aksi persahabatan menentang China dan Yemen, bulan depan.
Kecederaan yang dialami bintang naturalisasi negara, Bergson da Silva ketika aksi Liga Juara-Juara Elit (ACLE) antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Port FC, kelmarin mencetuskan kegusaran dan peluangnya untuk segera pulih masih belum dapat disahkan.
Andai Bergson tidak dapat menyertai Harimau Malaya, aksi Liga Super yang akan berlangsung esok, Sabtu dan Ahad ini menjadi medan terbaik untuk semua penyerang negara membuktikan kualiti kerana Cheng Hoe juga pastinya akan menilai pelan B.
“Kalau lihat dari segi peningkatan pasukan, kita sudah nampak perkembangannya. Perlawanan persahabatan ini memang kita ada sasaran, kita mahu kekalkan momentum dan mendapatkan keputusan positif serta yang terbaik untuk pasukan,” kata Cheng Hoe.
Harimau Malaya yang pernah mengikat China 1-1 pada persahabatan tiga tahun lalu akan diletakkan harapan untuk cuba mengekalkan prestasi baik khususnya dalam misi memperbaiki kedudukan pasukan dalam ranking dunia.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan menaruh harapan dan cita-cita untuk melihat Harimau Malaya mampu menembusi kelompok 100 dunia.
The post Peluang terbuka penggempur tempatan appeared first on Kosmo Online.






