
PETALING JAYA: Status terkini penyerang naturalisasi Harimau Malaya, Bergson Da Silva mencetuskan kebimbangan kem kebangsaan menjelang dua aksi persahabatan antarabangsa bulan depan.
Penyerang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berdepan kecederaan ketika Harimau Selatan menewaskan Port FC 3-0 dalam aksi Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, kelmarin.
Dalam aksi berkenaan, bintang kelahiran Brazil itu masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua dan berjaya menjaringkan gol kedua buat JDT sebelum terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan.
Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz, mengesahkan penyerang itu mengalami kecederaan yang memaksa dia dikeluarkan semula meskipun menggandakan kedudukan buat Harimau Selatan menerusi tandukannya pada minit ke-62.
“Pihak kejurulatihan akan memantau rapi tahap kecergasan pemain dan menunggu laporan imbasan mesin pengimejan resonans magnetik (MRI) bagi melihat sejauh mana tahap kecederaan dialami,’ kata Munoz.
Situasi itu menjadi tanda adakah Bergson memerlukan tempoh pemulihan yang panjang atau bakal terlepas aksi seterusnya, termasuk melupakan panggilan Harimau Malaya pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 bertemu China dan Yaman bulan hadapan.
Jika tidak berdepan kecederaan serius, Bergson dijangka tidak berdepan masalah untuk beraksi untuk JDT dan Harimau Malaya dalam aksi menentang China pada 14 November dan Yaman pada 17 November.
Untuk rekod, Bergson beraksi cemerlang dalam saingan Piala ASEAN FIFA 2026 apabila meledak empat gol sepanjang kejohanan termasuk melakar hatrik ketika Malaysia menumpaskan Singapura 6-0. – UTUSAN
The post Status Bergson cetus kebimbangan appeared first on Utusan Malaysia.





