
GEORGE TOWN - Seorang doktor berusia 74 tahun yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti luncur angin di perairan Tanjung Bungah, semalam, ditemukan meninggal dunia di kawasan berbatu berhampiran pesisir pantai Straits Quay, pagi tadi.
Mangsa, Dr Khaw Chun Sein, ditemukan terdampar di kawasan berkenaan pada jam 9.56 pagi, iaitu pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakkan dengan penyertaan beberapa agensi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi mengesahkan kematian mangsa.
“Selepas identiti mangsa dikenal pasti dan disahkan oleh waris, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.
Menurutnya, operasi SAR yang diselaraskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) meliputi kawasan seluas 94.76 batu nautika persegi, merangkumi lima sektor pencarian di laut dan satu sektor udara.
Operasi itu membabitkan 11 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal serta Butterworth, termasuk anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), selain Pasukan Bomba Sukarela, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Sebanyak tujuh bot dan sebuah helikopter Maritim Malaysia digunakan dalam operasi pencarian, manakala pasukan operasi kami turut menjalankan pencarian di permukaan air dalam lingkungan radius 1.36 batu nautika persegi,” katanya.
Susulan penemuan mangsa, operasi SAR ditamatkan secara rasmi, manakala Pos Kawalan Hadapan di Kelab Renang Cina Pulau Pinang, Tanjung Bungah, ditutup pada jam 10.30 pagi.
Terdahulu, Dr Khaw dilaporkan hilang pada jam 7.42 malam semalam selepas gagal pulang daripada aktiviti luncur angin di perairan berhampiran Kelab Renang Cina Pulau Pinang, Jalan Tanjung Tokong. - Getaran, 16 November 2026






