Pemain Bola Tampar Jepun Tunjuk Permohonan Maaf Paling Ikhlas, Aksi Yuji Nishida Raih Perhatian Dunia

2 Feb 2026 • 10:28 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KOBE – Seorang pemain bola tampar Jepun mencuri perhatian ramai apabila tindakannya memohon maaf secara bersungguh-sungguh selepas tidak sengaja terkena seorang hakim tepi gelanggang menjadi tular di media sosial.

Insiden itu membabitkan Yuji Nishida, 26, ketika beliau menyertai cabaran servis semasa acara all-star yang berlangsung di Kobe, barat Jepun, hujung minggu lalu.

Servis tangan kiri Nishida tersasar keluar gelanggang sebelum terkena belakang seorang hakim wanita.

Kelihatan terkejut dengan kejadian itu, pemain berketinggian 186 sentimeter tersebut segera meluncur di atas lantai gelanggang sambil menundukkan kepala sebagai tanda memohon maaf, sekali gus mencetuskan reaksi terhibur dalam kalangan penonton serta rakan sepasukan.

Beliau kemudian berlutut dan terus tunduk beberapa kali sebagai tanda penyesalan, sebelum hakim terbabit membalas dengan senyuman dan tundukan hormat.

Rakaman detik berkenaan pantas tersebar dan meraih jutaan tontonan, dengan ramai netizen memuji sikap rendah diri serta adab sopan pemain tersebut.

Raih anugerah MVP

Di sebalik insiden berkenaan, Nishida tetap mempamerkan prestasi cemerlang apabila membantu pasukannya, Osaka Bluteon, mencatat kemenangan 3-0.

Menurut laporan AbemaTV yang menyiarkan kejohanan itu, beliau turut dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP).

Simbol budaya hormat Jepun

Dalam budaya Jepun, tunduk hormat merupakan amalan biasa sebagai tanda sopan santun.

Namun, bentuk paling mendalam dikenali sebagai dogeza, iaitu perbuatan sujud sehingga dahi menyentuh lantai bagi melambangkan penyesalan atau rasa hormat yang tinggi.

Walaupun jarang dilakukan di khalayak ramai, tindakan Nishida itu dilihat seakan mencerminkan nilai budaya tersebut, sekali gus mengundang pujian masyarakat antarabangsa. – The Malaysian Update

The post Pemain Bola Tampar Jepun Tunjuk Permohonan Maaf Paling Ikhlas, Aksi Yuji Nishida Raih Perhatian Dunia appeared first on The Malaysian Update.