Pemain digesa terus perbaiki diri

FootballSports
29 Mar 2025 • 6:48 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: GL Oh

Kota Kinabalu: Pemain Sabah FC II digesa untuk terus bekerja keras untuk memperbaiki diri dan berusaha untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi pada masa hadapan.

Pengurus pasukannya Datuk Abdul Kassim Razali membuat gesaan itu berikutan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini untuk memansuhkan Piala MFL musim depan.

“Saya berharap pemain bawah 23 tahun kita akan terus menumpukan perhatian untuk meningkatkan prestasi mereka bagi mendapat peluang bermain di platform berbeza, sama ada bermain dengan kelab atau pasukan di negeri lain.

“Pada masa sama, saya juga berharap beberapa pemain ini akan menyertai pasukan utama Sabah FC, manakala mereka yang masih layak beraksi dalam Piala Presiden dan Piala Belia boleh mendapat tempat dalam pasukan negeri musim depan,” katanya selepas majlis berbuka puasa bersama pasukan itu di Tuaran baru-baru ini.

Abdul Kassim turut melahirkan rasa terima kasih kepada seluruh pasukan Sabah FC II atas kerja keras sepanjang musim Piala MFL.

“Ia satu pengajaran yang baik untuk golongan muda ini menimba pengalaman, dan juga mengetahui kesusahan dan cabaran hebat dalam Liga Malaysia.

“Semoga mereka akan belajar untuk lebih fokus dalam mempersiapkan diri menghadapi liga yang lebih besar dan mencabar pada masa hadapan,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut menghulurkan sedikit sumbangan untuk menyokong pemain dan pegawai.