Pemain industri sokong Pelan Hala Tuju Industri Keluli 2035 bendung lebihan kapasiti, pacu ke arah penyahkarbonan

30/09/2025 - 17:59
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 30 Sept - Syarikat keluli tempatan menyokong penuh Pelan Hala Tuju Industri Keluli 2035 (SIR2035) dan menyifatkan ia sebagai kerangka kerja yang dinantikan bagi menangani isu lebihan kapasiti selain meletakkan sektor berkenaan di landasan terbaik menuju ke arah penyahkarbonan.
Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia (MISIF) berkata, pelan hala tuju itu mencerminkan “pengiktirafan jelas” terhadap peranan sektor berkenaan sebagai tulang belakang ekonomi negara, selain menunjukkan kesungguhan kerajaan menangani kelemahan struktur yang telah lama membelenggu industri.
“MISIF mengalu-alukan pendekatan menyeluruh yang diambil, khususnya dalam menangani lebihan kapasiti global, dinamik perdagangan yang berubah serta peralihan ke arah penyahkarbonan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pelan hala tuju berkenaan — yang dilancarkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz — merangkumi 15 strategi dalam tiga fasa, bermula dengan fasa penstabilan dari 2025 hingga 2027.
Antara langkah segera termasuk menghentikan projek baharu, menyusun semula kerangka pelesenan dan membatalkan kelulusan tidak aktif bagi mengawal kapasiti huluan yang berlebihan.
MITI turut mengenakan larangan terhadap pembinaan loji baharu blast furnace-basic oxygen furnace (BF-BOF) yang merupakan kaedah pengeluaran paling intensif karbon.
Sebaliknya, keutamaan diberikan kepada kemudahan direct reduced iron dan hot briquetted iron (DRI-HBI) yang menyediakan bahan suapan mampan untuk relau elektrik (EAF), lebih sesuai dengan peralihan ke arah masa depan rendah karbon.
Bermula 2027 hingga 2035, fokus akan beralih kepada pembangunan teknologi hijau, inovasi dan piawaian industri, dengan matlamat akhir mencapai penyahkarbonan sepenuhnya menjelang 2050.
MISIF yang mempunyai lebih 150 ahli berkata, ia akan meneliti strategi terperinci dalam pelan berkenaan serta memberikan maklum balas konstruktif untuk menyokong pelaksanaannya.
“Kami kekal komited bekerjasama rapat dengan MITI dan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan aspirasi pelan hala tuju ini dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berkesan demi daya saing dan kelestarian jangka panjang industri besi dan keluli Malaysia,” katanya.
“MISIF menantikan kerjasama berterusan dengan semua pihak berkepentingan dalam membentuk sektor keluli yang berdaya tahan, inovatif dan berpandangan jauh, seterusnya menyumbang secara bermakna kepada matlamat pembangunan negara,” katanya.
Pelan hala tuju itu hadir di tengah-tengah ketidakseimbangan berterusan dalam pasaran keluli ASEAN, di mana permintaan bagi produk mendatar masih banyak dipenuhi melalui import manakala kapasiti produk lain kekal berlebihan.
Menjelang 2030, kapasiti huluan Malaysia dijangka meningkat kepada 40.8 juta tan berbanding permintaan yang diunjurkan hanya 14.7 juta tan, sekali gus menyerlahkan keperluan segera bagi reformasi.
Tengku Zafrul turut menggambarkan pelan hala tuju ini bukan sekadar dasar perindustrian, sebaliknya sebagai “kontrak nasional untuk kesejahteraan sosioekonomi generasi masa depan”, yang dihubungkan dengan kerangka lebih luas seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). - DagangNews.com
standard


