Pemain KDA FC terima sumbangan? Sanusi ucap terima kasih, tegas tak pernah lepas tangan langsai hutang

LocalFootball
26 Mar 2025 • 11:57 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi ucap terima kasih kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggerakkan tabung Aidilfitri untuk membantu pemain bola sepak negeri itu berjumlah RM200,000.

Beliau berkata, kerajaan negeri dan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) khususnya amat menghargai pihak-pihak yang membuat kebaikan di Kedah.

Pun begitu, beliau menegaskan kerajaan negeri tidak pernah lepas tangan membantu pasukan Kedah Darul Aman (KDA FC) dan sehingga kini masih melangsaikan hutang terkumpul berjumlah RM30 juta yang ditinggalkan kepimpinan terdahulu.

“Untuk makluman, pihak saya juga menanggung hutang pasukan sebanyak RM200,000 yang masih dibayar setiap bulan hingga kini. Jadi jangan kata saya atau KFA tak tolong dan sebenarnya kita juga tolong.
“Bila kita buat kebajikan dan kebaikan, kita dapat pahala. Jika kita buat kebajikan sikit dan kalau kita kutuk orang yang buat kebaikan lebih banyak, pahala kita pula jadi debu dan Tuhan tak kira, sayanglah,” katanya.

image is not available

Sanusi ucap terima kasih

Tambahnya, KFA sehingga kini masih menanggung hutang RM30 juta itu termasuk tuntutan RM1.9 juta daripada LHDN untuk pemain import sebelum ini, Liridon Krasniqi.

Bukan itu sahaja, KFA turut membantu pasukan KDA FC sebanyak RM2 juta sebelum ini untuk memastikan pasukan itu mendapat lesen kebangsaan bagi membolehkan mereka terus bertanding dalam Liga Malaysia bagi musim ini.

“Sebenarnya mula-mula kita ambil alih pasukan dulu. Kita tanggung hutang RM16 juta termasuk empat bulan tunggakan gaji. Tidak lama kemudian sampai lagi tuntutan lain termasuk LHDN dan komitmen untuk musim seterusnya. Campur-campur semua sudah lebih RM30 juta.
“Kesemua tunggakan-tunggakan itu KFA sedang bayar sebanyak RM200,000 sebulan. Kita cari dana daripada pelbagai pihak yang sudi memberi sumbangan. Itupun penyumbang kita dikacau sehinggakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat tanpa tujuan.
“Akhirnya tak ada orang nak bagi lagi dah. Susah kalau main politik sampai tahap itu. Saya tahu itu semua agenda politik sahaja. Tangkap orang bagi pakai baju oren lepas itu potretkan mereka besar-besar tanpa ada kes.
“Habis semua penyumbang lari, selepas itu pasukan bola teruk marah kita. Kena faham benda-benda ini kadang-kadang sengaja dibuat. Bila kita pulun mereka sabotaj, bila tak buat mereka buat cara ini. Saya dah malas nak main permainan mereka, saya akan buat kerja saya tolong setakat mana boleh,” katanya lagi.

Beliau berkata, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Radhi Mat Din turut menyumbang secara peribadi berjumlah RM1,500 seorang kepada 11 kakitangan KDA FC sempena Aidilfitri minggu depan.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Penyampaian Ganjaran Kepada Atlet dan Pegawai Sempena Temasya PARA ASEAN Games Cambodia 2023, SUKMA & PARA SUKMA XXI Sarawak 2024 dan Olimpik Paris 2024 di sini, hari ini.

image is not available

image is not available

Beliau mengulas sumbangan khas RM200,000 yang disampaikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kepada pemain bola sepak Kedah setelah inisiatif itu digerakkan tiga NGO sejak 20 Mac lalu.