Penjawat awam Sabah terima 'bonus' RM1,000

LocalPolitics
26 Mar 2025 • 4:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Penjawat awam di Sabah menerima khabar gembira apabila kerajaan negeri meluluskan bantuan khas kewangan sebanyak RM1,000 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan tahun ini. Gambar hiasan

KOTA KINABALU – Penjawat awam di Sabah menerima khabar gembira apabila kerajaan negeri meluluskan bantuan khas kewangan sebanyak RM1,000 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan tahun ini.

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, bantuan khas itu akan diberikan dalam dua fasa, iaitu RM500 menjelang Hari Raya Aidilfitri dan RM500 lagi menjelang Pesta Kaamatan.

"Keputusan ini dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Negeri Sabah hari ini sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap sumbangan penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Pembayaran akan dibuat sebelum perayaan masing-masing bagi memastikan penerima dapat memanfaatkan bantuan itu dengan sebaiknya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut Masidi, bantuan khas itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjaga kebajikan penjawat awam serta memberi dorongan kepada mereka agar terus berkhidmat dengan lebih cemerlang.

"Kerajaan negeri turut merakamkan penghargaan kepada semua penjawat awam atas dedikasi mereka dan berharap bantuan ini dapat menjadi suntikan semangat untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat," katanya.