
JOHOR BAHRU: Pemaju hartanah di sekitar bandar raya Johor Bahru diberikan amaran untuk memastikan pelaksanaan projek pembangunan mereka dibuat mengikut garis panduan kebenaran merancang, termasuklah melibatkan aspek mengatasi banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang sekiranya didapati projek mereka menyumbang kepada kejadian banjir kilat.
Katanya, pihaknya tidak akan berlembut berhubung perkara tersebut kerana kejadian banjir kilat akan menjejaskan kehidupan masyarakat serta merosakkan harta benda mereka.
“Saya beri amaran kepada semua pemaju projek, agar pembangunan dibuat mengikut garis panduan. Mereka perlu bangunkan kolam takungan sementara, parit monsun, tanam rumput dan sebagainya. Ini tanggungjawab mereka.
“Tetapi isunya adalah sama ada mereka buat atau tidak, atau buat kemudian untuk dapatkan untung lebih dan projek dapat disiapkan dengan segara. Tetapi benda penting mereka tidak laksanakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Taskforce Banjir Kilat di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di sini hari ini.
Tambah Mohd. Jafni, tindakan tegas termasuk menghentikan sementara projek pembangunan telah diambil terhadap sebuah syarikat pemaju yang dikesan menyebabkan berlakunya banjir kilat di kawasan Iskandar Puteri, sebelum ini.
“Walaupun mereka merayu, kita tetap bertegas kerana kawasan yang tidak pernah banjir sebelum ini tiba-tiba banjir dan dipenuhi air tanah. Jadi kita terus beri notis dan mereka perlu tangguh projek untuk bina mengikut garis panduan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memberitahu pihaknya akan memanggil syarikat-syarikat pemaju hartanah khususnya di kawasan pusat bandar Johor Bahru dalam waktu terdekat untuk mengatasi isu banjir di kawasan terlibat.
“Kita akan panggil mereka untuk diberikan taklimat semula berhubung isu banjir. Diperingkat pihak berkuasa tempatan (PBT), kita sudah ada kebenaran merancang (KM), tetapi perkara itu perlu dihalusi sama ada ianya dipatuhi atau tidak,” katanya.
Sementara itu, mengulas berhubung kejadian banjir kilat semalam, Mohd. Jafni memberitahu, laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) merekodkan taburan hujan luar biasa melanda daerah ini, semalam.
“Kadar taburan hujan di beberapa kawasan hotspot melepasi 60 hingga 70 milimeter (mm) malah ada yang mencatatkan bacaan melebihi 100 mm, berbanding kadar normal harian sekitar 10 mm sejam.
“Keadaan cuaca kini sukar dijangka. Walaupun MBJB telah membelanjakan lebih RM100 juta dalam tempoh empat tahun bagi menaik taraf parit monsun, menambah pam serta pintu kawalan air, kapasiti sedia ada masih tidak mampu menampung aliran air yang terlampau banyak,” katanya.
Katanya lagi, sebagai persediaan hadapi musim monsun bermula minggu depan, PBT dan JPS akan mengambil langkah segera menurunkan paras air di parit monsun serta kolam takungan seperti di Tasik Merdeka dan Kampung Muafakat bagi menyediakan ruang simpanan air.
“Selain itu, kerja mendalamkan kolam takungan Kampung Muafakat sebanyak tiga kaki lagi akan dimulakan esok, di samping pembinaan kolam takungan bawah tanah di atas tanah kosong berhampiran dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian (PTG).
“Sebanyak RM48 juta peruntukan telah disediakan untuk perkara ini tahun depan, namun ia masih tidak mencukupi. Kita menganggarkan perlu peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta bagi melantik konsultan, menambah pam baharu, melebarkan parit monsun serta menaik taraf sistem pemberitahuan amaran banjir untuk manfaat rakyat Johor,” katanya.-UTUSAN
The post Pemaju hartanah diberi amaran, ikuti garis panduan atasi banjir appeared first on Utusan Malaysia.






