Pemaju ingkar syarat waktu operasi 23 kali sejak Jan dikompaun RM11,500

3 Sep 2025 • 4:09 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

SEORANG pemaju dikenakan kompaun berjumlah RM11,500 sepanjang sembilan bulan lalu kerana gagal mematuhi syarat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berhubung waktu operasi yang dibenarkan di tapak pembinaan syarikat itu di Kepayan.

Mengikut peraturan, kerja di tapak pembinaan dalam kawasan pentadbiran agensi itu hanya boleh dijalankan antara jam 7.30 pagi hingga 6 petang dari Isnin hingga Sabtu, manakala tiada sebarang aktiviti dibenarkan pada Ahad dan cuti umum.

Bagaimanapun, syarikat berkenaan didapati berulang kali mengabaikan peraturan tersebut, termasuk ketika cuti panjang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah baru-baru ini.

Jurucakap Jabatan Kawalan Bangunan (BCD) DBKK berkata, syarikat itu telah melanggar Undang-Undang Kecil berhubung waktu kerja sebanyak 23 kali sejak Januari lalu, dengan setiap kesalahan dikenakan kompaun RM500.

“Kakitangan BCD sentiasa memantau aktiviti di tapak pembinaan itu. Setakat tahun ini, lebih 23 pemeriksaan telah dijalankan di kawasan Kepayan berkenaan,” katanya.

Dia berkata demikian sebagai maklum balas terhadap aduan seorang pembayar cukai mengenai gangguan bunyi bising dari tapak tersebut.

Seorang penduduk berhampiran yang hanya mahu dikenali sebagai Chloris berkata, kerja-kerja pembinaan menjadi punca kekecewaan ramai pemilik rumah di kawasan itu.

Katanya, bunyi bising boleh kedengaran seawal jam 8 pagi sehingga lewat tengah malam setiap hari.

“Keadaan ini sudah berlarutan berbulan-bulan. Sabtu lalu, kerja pembinaan tidak berhenti seperti biasa tetapi berterusan hingga awal pagi keesokan harinya,” katanya.

Chloris mengeluh keluarganya tidak dapat tidur lena akibat gangguan bunyi mesin di tapak berkenaan.

“Kami tidak boleh membuka tingkap pada waktu malam dan terpaksa menyumbat kain pada ruang bawah pintu untuk mengurangkan kebisingan. Anak-anak kecil saya sukar tidur kerana bunyi bising itu,” katanya.

Menurutnya, dia mengadu kepada beberapa kakitangan DBKK tentang masalah tersebut, yang khususnya amat mengganggu pada Ahad dan cuti umum.

“Salah seorang kakitangan ini memaklumkan bahawa kerja di tapak pembinaan sepatutnya hanya bermula jam 7.30 pagi dan berakhir jam 6 petang dari Isnin hingga Sabtu. Jelas sekali pemaju mengingkari peraturan ini. Saya tidak faham bagaimana pihak berkuasa boleh membiarkan saja mereka berbuat demikian,” katanya.

Dia juga memberikan butiran berhubung gangguan bunyi berkenaan kepada Hotline, yang kemudiannya disalurkan kepada DBKK.

Jurucakap itu menafikan dakwaan agensi itu tidak mengambil tindakan.

“Pemeriksaan terbaru dijalankan sekitar jam 8 malam pada 29 Ogos, dengan anggota BCD ditemani pegawai dari Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Kejuruteraan. Tiada kerja pembinaan dikesan ketika itu,” katanya.

Menurutnya, rekod agensi menunjukkan banyak aduan diterima berhubung aktiviti di tapak berkenaan.

“Laporan paling ekstrem datang daripada seorang penduduk warga emas yang mendakwa bunyi bising menyebabkan rumah dan kedai di kawasan sekitar bergegar.

“Malah dia mendakwa tingkap rumahnya turut bergetar seolah-olah berlaku gempa bumi,” katanya.

Selain bunyi bising, seorang lagi pemilik rumah mengadu bilik tidurnya tidak mempunyai pengudaraan.

“Dia terpaksa menutup tingkap bilik tidurnya pada waktu malam untuk memastikan asap dan bau diesel tidak masuk.”Seorang pengguna jalan raya pula merungut keadaan jalan yang sering dipenuhi tanah akibat lori keluar masuk dari tapak berkenaan.

Jurucakap itu berkata, pihak DBKK telah mengambil tindakan terhadap setiap aduan yang diterima.

“Kakitangan kami telah diarahkan lebih berwaspada terhadap aktiviti di tapak pembinaan ini dan mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan gangguan kepada orang awam.

“Jika perlu, kami akan mempertimbangkan menyita beberapa peralatan di tapak itu untuk memberi peringatan kepada pemaju agar mematuhi peraturan.”Katanya, pengurusan perlu menjelaskan kompaun serta menghantar surat rasmi kepada agensi sebelum peralatan tersebut dikembalikan kepada syarikat, katanya.