KUALA SELANGOR, 31 DIS: Pemaju kolam tadahan yang pecah di Taman Seri Alam, Saujana Utama dekat Sungai Buloh sehingga menyebabkan banjir diminta membayar ganti rugi kepada penduduk.
Ahli majlis berkata pihak berkenaan perlu bertanggungjawab sepenuhnya memandangkan kejadian itu pernah berlaku pada 2015 dan kali ini lebih teruk.
“Perkara ini pernah dibangkitkan. Pada Oktober pemaju menebuk lubang sebagai langkah mengurangkan air kolam namun menyebabkan dinding pecah. Ini menyebabkan banjir kilat lebih dua jam dan rumah penduduk dinaiki air.

“Pemaju sudah dimaklumkan perkara ini dan saya tegaskan kita tidak mahu ada pengurangan dari harga diminta. Penduduk alami kerugian besar malah perabot, kenderaan rosak,” kata Maisarah Ismail.
Ditemui di lokasi kejadian, beliau berkata pihaknya juga akan menyemak dan meneliti semula kebenaran membina kolam tadahan berkenaan.
Maisarah berkata setakat ini Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyediakan sarapan dan makanan tengah hari serta malam kepada 400 penduduk situ.
“Ini merupakan bantuan bagi meringankan beban mangsa. Kita tahu mereka penat mengurusakan kediaman dan perlukan tenaga. Pada 2 Januari nanti, MBI akan menyerahkan bakul makanan,” katanya.
Semalam Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata pihaknya menyalurkan RM30,000 bagi membantu kira-kira 400 mangsa banjir di situ.


The post Pemaju kolam tadahan pecah diminta bayar pampasan kepada penduduk appeared first on Selangorkini.

