
Kota Kinabalu: Pemaju hartanah terkemuka berpangkalan di semenanjung, City Motors Group meneroka semula pasaran Sabah dengan menawarkan projek pembangunan bercampur pegangan bebasnya, “Alfa Bangsar”, di lokasi utama di Kuala Lumpur.
Ketua Pegawai Eksekutif Sri Seltra, bahagian hartanah syarikat itu, Terrence Chia berkata projek itu menggabungkan rangkaian hotel terkenal dunia, Holiday Inn dengan 220 bilik serta kemudahan penuh dan 178 unit pangsapuri servis berketumpatan rendah di bangunan 43 tingkat itu.
Beliau berkata projek pembinaan yang sedang berjalan itu menawarkan gaya hidup bandar yang berprestij dan juga menyediakan lot kedai komersial yang akan mengambil kira-kira tiga tingkat seluas 20,000 kaki persegi sebagai kawasan kasar ruang komersial. Satu tingkat mempunyai 15,000 kaki persegi dan satu lagi tingkat di atasnya mempunyai 5,000 kaki persegi.
“Kali terakhir kami melakukan jualan di Sabah hampir 10 tahun lalu di mana kami menyiapkan dua projek kondominium pada 2013 dan permintaannya baik. Kali ini, kami meninjau semula pasaran Sabah dan kami ingin mengekalkan kehadiran di sini untuk projek seterusnya.
“Kami juga mendapati dalam tinjauan pasaran kami bahawa ramai rakyat Sabah terutamanya dalam kalangan komuniti perniagaan, sering pergi ke Kuala Lumpur untuk bekerja dan perniagaan serta beriadah.
“Saya ada beberapa rakan di Sabah yang sering bercakap tentang membeli hartanah di KL dan mereka yang mempunyai keluarga serta anak-anak yang belajar di KL, sedang mempertimbangkan untuk membeli satu untuk menampung anak mereka.
“Ini adalah kumpulan orang yang kami sasarkan,” katanya.
Menurut Terrence, projek itu akan siap hujung tahun depan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
