Pemaju tanggung sewa penduduk Kg Sg Baru hingga rumah baharu siap -Zaliha

12 Sep 2025 • 6:12 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Penduduk Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur yang berpindah sementara tidak perlu risau soal bayaran rumah sewa kerana kosnya akan ditanggung sepenuhnya oleh pemaju sehingga projek perumahan baharu siap.

Penduduk Kg Sg Baru bersetuju pindah, kos sewa ditanggung

Memetik laporan daripada Bernama, perkara itu telah disahkan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

“Saya difahamkan mereka yang telah bersetuju untuk berpindah, kos sewanya ditanggung pemaju sehingga mereka kembali ke kediaman baharu nanti,” katanya pada sidang media khas hari ini.

image is not available

Penduduk Kg Sg Baru ditempatkan di Residen Sungai Udang & PPR Batu Muda

Beliau menjelaskan majoriti yang tinggal di Kampung Sungai Baru kini ditempatkan di Residensi Sungai Udang dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, manakala pemindahan ini merupakan komitmen pemaju bagi menjaga kebajikan mereka sepanjang tempoh peralihan.

Mengulas isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang sudah tertunggak lebih sembilan tahun, Zaliha berkata kerajaan MADANI kini berusaha menyelesaikannya dengan lebih menyeluruh serta adil.

image is not available

70% penduduk bersetuju

Menurutnya, lebih 70 peratus telah bersetuju dengan pelan pembangunan semula, manakala 28 peratus lagi masih menolak kerana isu pampasan.

“Penduduk sendiri nyatakan mereka tidak menolak pembangunan, cuma ada yang pertikai pampasan. Bagi mereka yang masih tidak setuju, proses mahkamah sentiasa terbuka untuk dirujuk,” katanya.

image is not available

Menepis dakwaan kononnya projek itu akan menghapuskan masyarakat Melayu di bandar, Zaliha menegaskan pembangunan tersebut sebaliknya mengembalikan mereka ke kawasan asal dengan rumah lebih selesa dan bercirikan identiti Melayu.

Malah, pandangan penduduk turut diambil kira, termasuk penyediaan lif khas yang mampu memuatkan keranda bagi memudahkan urusan kematian.

Sumber: Bernama