Pemanasan Global Tingkat Risiko Banjir Kilat Di Nepal

Environment
17 Sep 2026 • 3:12 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Pemanasan Global Tingkat Risiko Banjir Kilat Di Nepal

Perubahan iklim berkemungkinan menyumbang kepada keruntuhan glasier yang mencetuskan banjir besar di sempadan Nepal-Tibet, menurut satu kajian, lapor BBC.

Pemanasan global tingkat risiko banjir di Nepal

Ahli klimatologi Imperial College London, Dr Friederike Otto, yang merupakan antara penulis kajian itu berkata, tiada keraguan bahawa perubahan iklim akibat aktiviti manusia memainkan peranan dalam mewujudkan keadaan yang menyumbang kepada bencana berkenaan.

Kajian World Weather Attribution mendapati bencana itu berpunca daripada fenomena kompleks yang melibatkan peningkatan suhu, glasier yang semakin menipis, pencairan permafros serta kelemahan geologi sedia ada.

Penemuan itu diumumkan ketika pihak berkuasa Nepal menyemak semula jumlah individu yang masih hilang dalam bencana berkenaan daripada 5,179 kepada 6,150 orang.

Jumlah kematian pula kekal sekitar 1,400 orang berdasarkan angka yang dikeluarkan pada Rabu.

Banjir besar dan tanah runtuh melanda bandar serta kampung di sempadan Nepal dan Tibet, memusnahkan ribuan rumah, merosakkan infrastruktur tenaga serta menyebabkan ribuan penduduk maut atau masih hilang.

Sebelum ini, saintis berkata banjir berkenaan berpunca daripada keruntuhan cerun glasier berhampiran puncak Langtang Lirung, sebuah gunung yang terletak di bahagian Himalaya, Nepal.

Ketulan glasier yang besar itu menghempas dasar lembah dengan kekuatan sehingga direkodkan sebagai gempa bumi bermagnitud 5.2 berdasarkan data Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Kajian yang diterbitkan pada Khamis itu bagaimanapun menyatakan perubahan iklim merupakan faktor yang menjejaskan kestabilan kawasan berkenaan, namun bukan satu-satunya punca bencana.

Menurut kajian itu, suhu pada Julai dan Ogos di kawasan berkenaan kira-kira 1.5 darjah Celsius lebih tinggi akibat pengaruh manusia terhadap iklim.

Pada masa sama, glasier di rantau tersebut semakin menipis pada kadar kira-kira setengah meter setahun, keadaan yang boleh melemahkan rekahan sedia ada dan meningkatkan ketidakstabilan.

Salji lebat pada Oktober dan November tahun lalu turut menyumbang kepada jumlah air cair yang tinggi pada awal tahun ini.

Gabungan faktor berkenaan berkemungkinan saling berinteraksi dan memburukkan lagi keadaan sehingga mencetuskan bencana kompleks itu, menurut kajian berkenaan.

Gempa bumi bermagnitud 7.8 yang melanda kawasan tersebut pada 2015 dan mencetuskan runtuhan batu serta ais juga mungkin melemahkan struktur batuan di bawah glasier, menurut kajian itu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa berkata kesan sebenar gempa bumi berkenaan terhadap keruntuhan glasier bulan lalu masih belum dapat disahkan.

Seorang lagi penulis kajian, pakar hidrologi gunung dari Universiti Utrecht, Dr Walter Immerzeel, menyifatkan kawasan itu sebagai cerun yang mempunyai kerentanan geologi.

Menurut beliau, cerun berkenaan berkemungkinan dilemahkan oleh gempa bumi 2015 dan kemudian menjadi semakin tidak stabil akibat pengunduran glasier serta permafros.

Baca juga:

Penemuan kajian itu turut mengesahkan pandangan beberapa pakar yang dikemukakan sejurus selepas bencana berkenaan.

Sebelum ini, beberapa pakar memberitahu BBC bahawa keruntuhan glasier itu berkemungkinan berpunca daripada gabungan perubahan iklim dan pergerakan tektonik jangka panjang.

Langtang Lirung, seperti kawasan lain di Himalaya, mengalami proses peningkatan ketinggian secara perlahan, menyebabkan glasier menjadi semakin curam dan meningkatkan kemungkinan sebahagian daripadanya runtuh, menurut profesor sains bumi Universiti Oxford, Dr Mike Searle.

Bagaimanapun, beliau berkata keruntuhan ketulan glasier sebesar itu dalam satu kejadian merupakan sesuatu yang jarang berlaku.

Pakar glasier Universiti Dundee, Dr Simon Cook, pula berkata meskipun sukar untuk mengaitkan sesuatu kejadian tunggal secara langsung dengan perubahan iklim, peningkatan suhu akhirnya boleh menjejaskan kestabilan persekitaran kawasan pergunungan tinggi.

Susulan bencana itu, pihak berkuasa Nepal menggesa usaha global dipertingkatkan bagi menangani perubahan iklim, dengan menyatakan negara itu antara penyumbang terendah kepada pelepasan gas rumah hijau tetapi sangat terdedah kepada kesan pemanasan global.

Dalam lawatan luar negara pertamanya sebagai Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah dijadual menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York minggu depan bagi membincangkan bencana berkenaan serta isu keadilan iklim.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved