
PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan merujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung kebajikan dua pegawainya yang terbabit banjir kilat di Rasuwa, dua minggu lalu.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata ia berkaitan kesinambungan pembayaran gaji dan urusan pencen dua pegawai bomba yang terbabit dalam tragedi itu.
Katanya, JBPM akan menunggu tindakan lanjut bagi menentukan kaedah pembayaran gaji serta urusan pencen membabitkan seorang pegawai, Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan di Ibu Pejabat JBPM, Mohd Sani Harul yang dijadualkan bersara pada 23 September ini.
“Beliau akan bersara, jadi proses untuk meneruskan prosedur pembayaran gaji dan pencen itu akan dirujuk kepada JPA sama ada mempunyai kewajaran atau sebaliknya,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Persidangan Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.
Selain Mohd Sani seorang pegawai Akademi JBPM Wilayah Tengah, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa turut terbabit dengan insiden berkenaan.
Nor Hisham berkata, Fakhrul masih mempunyai tempoh perkhidmatan yang panjang dan urusan pengesahan kematian perlu diteliti berdasarkan peruntukan undang-undang berkaitan.
Katanya, pengesahan kematian mempunyai kaedah berbeza antara negara dan dalam kes berkenaan, yang berlaku di Nepal.
“Jadi kita akan rujuk kepada JPA sama ada perlu menggunakan undang-undang di Nepal dan adakah pengesahan daripada kerajaan Nepal mencukupi atau kita perlu menggunakan akta kita sendiri.
“Kalau mengikut akta kita, tempohnya tujuh tahun. Tetapi saya dimaklumkan tempoh di Nepal lebih pendek. Cuma saya belum melihat sendiri akta berkenaan,” katanya.
Hari ini media melaporkan Kementerian Luar Negeri memaklumkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) akan menamatkan penugasan di Nepal hari ini.
Usaha mendapatkan kepastian mengenai status 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi akan terus dilaksanakan meskipun penugasan SMART ditamatkan.
The post Banjir Nepal: Bomba akan rujuk kes dua anggotanya kepada JPA appeared first on Utusan Malaysia.






