Pemandu ambulans maut, tiga cedera nahas di Lebuhraya PLUS

9 Dec 2025 • 5:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sebuah ambulans terbabas dan meragut nyawa pemandunya pada Selasa. Foto: JBPM
image is not available
Pemandu dan seorang penumpang hadapan telah tercampak keluar dari ambulans yang terbabas dan terbalik. Foto: JBPM
image is not available
Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa dari ambulans yang terlibat nahas pada Selasa. Foto: JBPM

KLUANG - Seorang pemandu ambulans maut manakala tiga wanita cedera selepas kenderaan itu terbabas di Kilometer 59.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Renggam kira-kira jam 1.10 tengah hari pada Selasa.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Renggam, Pegawai Bomba Kanan II (PBKII), M Nasir A Shah berkata, sebuah jentera FRT bersama enam anggota ke lokasi kejadian.

**media[3366547]**

"Setibanya Pasukan Keluar Operasi (PKO) di lokasi, didapati kemalangan melibatkan ambulans yang terbabas. Insiden tersebut melibatkan empat mangsa iaitu seorang pemandu lelaki, dua pembantu perubatan wanita serta seorang pesakit wanita.

"Hasil pemantauan mendapati pemandu dan seorang penumpang hadapan telah tercampak keluar dari ambulans, manakala dua lagi mangsa yang berada di ruangan belakang tidak tersepit," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, PKO bertindak segera mengalihkan mangsa-mangsa yang cedera ke kawasan selamat sebelum menyerahkan mereka kepada pihak ambulans untuk rawatan lanjut.

**media[3366546]**

"Mangsa dikenali sebagai Nurazrein Zainal, 43,  merupakan Pembantu Khidmat Am Gred H1, Hospital Segamat disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut. Operasi tersebut tamat jam 2.24 petang," katanya.

Sementara itu, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini untuk rawatan lanjut.

"Maklumat lanjut akan maklum kemudian," katanya ringkas ketika dihubungi.