Pemandu Bas Ekspres Disiasat, Benarkan Wanita Duduk Atas Riba Ketika Memandu

LocalPolitics
13 Apr 2026 • 4:58 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka kertas siasatan berhubung satu video tular yang memaparkan seorang pemandu bas ekspres memandu dengan seorang wanita duduk di atas ribanya.

Rakaman video berkenaan, yang dipercayai dirakam oleh penumpang bas, menunjukkan wanita terbabit turut memegang stereng ketika bas sedang bergerak. 

Berdasarkan maklumat di media sosial, kejadian itu dipercayai berlaku ketika bas dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menuju ke Kulai, Johor.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata tindakan segera telah diambil sejurus video tersebut tular.

“Siasatan segera dijalankan selepas video berkenaan tular dan pemandu yang terlibat serta syarikat bas telah pun dikenal pasti.

“Pemandu berkenaan telah dipanggil untuk memberi keterangan pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kes akan dirujuk kepada Ketua Pengarah JPJ untuk arahan lanjut setelah siasatan selesai.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pejabat JPJ terdekat bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pengguna jalan raya, khususnya pengendali kenderaan komersial, supaya sentiasa mematuhi undang-undang.

“Perkara ini penting bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya serta mengelakkan insiden yang boleh membahayakan nyawa,” katanya. - Getaran, 13 April 2026